Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persediaan SOP, persekitaran selamat sebelum buka sekolah - Page

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berpendapat persekitaran yang selamat dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai perlu dilaksanakan sebelum sekolah dibuka.

Katanya, meskipun pembukaan sekolah amat penting bagi memastikan anak-anak tidak keciciran dalam pelajaran, program vaksinasi kepada guru-guru, kakitangan sekolah dan pelajar perlu dipercepatkan.

“Perlu diperjelaskan yang keputusan untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah bukan satu perkara yang mudah dan tidak wujud keadaan yang sempurna.

“Pentingnya untuk memberi maklumat dan data yang tepat mengikut lokaliti setempat yang merujuk kepada jumlah jangkitan agar ibu bapa serta kakitangan sekolah dapat membuat keputusan terbaik.

“Walaubagaimanapun, kami syorkan agar sekolah sentiasa dibuka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka apabila mereka yakin,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 29 Ogos, ahli politik veteran, Rafidah Aziz menyuarakan kebimbangannya dengan pembukaan semula sekolah, sempadan dan ekonomi tanpa langkah pencegahan yang ketat.

Dia turut mempersoalkan apakah langkah-langkah pembasmian kuman akan dilaksanakan di setiap sekolah dan vaksinasi serta ujian Covid-19 dijalankan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai hubungan langsung dan secara tidak langsung dengan sekolah. Ini termasuk dari pengetua sehinggalah pekerja pembersihan sekolah.

Rafidah berkata selagi langkah itu tidak dilaksanakan, sekolah mesti kekal ditutup agar tidak mendedahkan pelajar kepada risiko jangkitan.

Menurut Azimah, sekolah perlu dibuka kerana ia bukan sahaja tempat anak-anak belajar, malah terdapat kanak-kanak yang bergantung kepada sekolah untuk mendapat agihan makanan dan ruang yang bebas dari kemurungan di rumah.

“Jadi, perlu diperkuatkuasakan SOP yang wujud, juga diperketatkan, agar ia dipraktikkan dengan selamat dan sebaiknya.

“Para pelajar perlu dilatih dengan sebaiknya untuk menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta persekitaran agar ia menjadi satu amalan, dan mereka sendiri faham dan sedar kepentingannya itu. Mereka lebih mampu melaksanakannya daripada apa yang dijangka oleh orang dewasa,” katanya.

Juteru, dia mencadangkan agar kerja-kerja sanitasi dan pembersihan boleh dijalankan sebelum pembukaan sekolah.

Azimah berpendapat adalah lebih baik sekiranya pelajar sentiasa diberikan kesedaran dalam penjagaan kebersihan diri, penjagaan jarak fizikal dan kebersihan persekitaran dalam usaha membendung Covid-19.

“Bukalah sekolah kerana kehilangan pembelajaran adalah ancaman yang lebih besar daripada Covid untuk anak kecil,” katanya.

Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Pengumuman tersebut hadir selepas banyak pihak menggesa supaya sekolah ditangguhkan pembukaannya berikutan angka jangkitan Covid-19 yang kian meningkat.