Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Masih ada dilarang masuk PPV atas alasan pakaian, meski ada aduan

Isu kakitangan pusat pemberian vaksin (PPV) dikatakan mempertikaikan pakaian pengunjung tertentu didakwa masih berlanjutan walaupun terdapat aduan mengenainya, sebelum ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata ini pihaknya menerima tiga lagi aduan berhubung individu yang mempunyai janji temu vaksinasi Covid-19 dilarang masuk ke PPV kerana disifatkan melanggar garis panduan etika berpakaian.

Wong berkata ini termasuk mereka yang memakai seluar jeans carik dan seluar panjang yang menampakkan pergelangan kaki ketika duduk.

"Kedengaran sangat lucu bila kita mengalu-alukan cosplay (memperagakan kostum) tetapi tidak membenarkan orang awam memakai pakaian biasa mereka masuk ke pusat vaksinasi.

" Ya, pakaian mereka mungkin bukan yang paling yang sopan menurut beberapa definisi, tetapi tidaklah hingga tidak senonoh," ciapnya dengan menanda Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Kata Wong, dia juga sebelum ini turut menerima aduan bahawa seorang wanita hamil yang memakai skrit panjang dengan sedikit belahan di tepi dilarang memasuki PPV.

Minggu lalu, seorang petugas kesihatan dilaporkan tidak membenarkan penerima vaksin merakamkan proses vaksinasi.

Video yang bertarikh 25 Ogos itu menunjukkan seorang penerima vaksin diberi amaran untuk tidak merakam proses vaksinasi atas alasan Khairy telah meletak jawatan sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam program vaksinasi negara.

Pada 23 Julai, Khairy yang sebelum ini merupakan menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) berkata orang awam dibenarkan merakam proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV).

Dia turut mengarahkan supaya prosedur operasi standard (SOP) diamalkan dengan menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima.

Pengumuman itu hadir selepas pada bulan lalu terdapat aduan dua individu yang mendakwa mereka menerima suntikan kosong.

Khairy dilantik sebagai menteri kesihatan yang baru di bawah pemerintahan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.