Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Jangan ampu kegagalan dulu sebagai kejayaan'

Kegagalan pentadbiran kerajaan dahulu, tidak harus dijulang dan diampu-ampu sebagai satu kejayaan politik, kata Ketua Penerangan Pemuda Pejuang (Pejuang Muda) Akif Rusli.

Kata Akif, langkah menjulang kegagalan sebagai satu kejayaan, merupakan langkah “lapuk dalam berpolitik”.

Katanya, pihaknya tidak mahu terheret dalam amalan politik sedemikian, sebaliknya akan membimbing golongan belia untuk keluar daripada kepompong budaya politik lama yang bersifat mengampu.

“Kami tidak mahu terjerat dan berusaha mengelakkan apa jua bentuk politik retorik yang hanya tahu mengampu mahupun sekadar ucapan terima kasih kepada jasa pentadbiran terdahulu yang tidak wajar dijulang kerana kegagalannya.

“Kami akan berusaha mencipta ruang dan peluang bagi membantu kehidupan rakyat, khususnya golongan belia.

“Dengan barisan kepimpinan kini, Pejuang Muda tekad untuk berusaha memimpin serta membimbing belia supaya keluar dari kepompong budaya politik lama yang bersifat mengampu demi membina masa depan yang utuh buat rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia dipercayai merujuk kritikan diterima Perikatan Nasional (PN) semasa masih mentadbir, dalam soal pelaksanaan dasar berhubung pengurusan Covid-19, antaranya penutupan sektor yang dikatakan berat sebelah, pembukaan sekolah semasa jangkitan tinggi, kelonggaran kuarantin, sekatan pergerakan yang didakwa separuh masak, dan sebagainya.

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan jawatannya selepas kerajaan PN tumbang ekoran 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan.

Akhirnya, Ismail Sabri Yaakob dilantik menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri baru oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hari ini merupakan hari mengangkat sumpah buat 30 orang menteri dan 37 timbalan menteri di bawah pentadbiran Ismail Sabri, di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Kata Akif, menyahut seruan pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, Pejuang Muda memilih jalan untuk membantu rakyat keluar daripada permasalahan yang sedang dihadapi negara.

Tetapi katanya, ia tidak hanya terhad kepada memberikan bantuan dan sumbangan sahaja, tetapi juga memberikan idea bagi rakyat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang menekan.

Akif juga menyeru golongan belia agar konsisten berjuang menolak segala unsur pengkhianatan dan jenayah kleptokrat terhadap negara tanpa kompromi kepada mana-mana pihak.