Penganggur dipenjara 18 bulan guna wang palsu
Gara-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.
Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lepas.
Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3 di Kuantan, didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lepas.
Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di Kuantan, untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai