'Antilompat parti, dana politik, Undi 18 antara pembaharuan boleh dibangkitkan PH'
Di tengah perbahasan sama ada PH perlu memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan dengan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggariskan beberapa perkara yang boleh dipertimbang pembangkang.
Ahli parlimen PKR itu berkata ramai yang membangkitkan soalan berkenaaan apa yang patut dimasukkan dalam persetujuan untuk pembaharuan dengan kerajaan.
Selain usaha memastikan kebebasan parlimen, kata Nik Nazmi, aspek lain yang boleh dipertimbang adalah undang-undang anti lompat parti, dana politik dan Undi18.
"Salah satunya adalah keperluan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik selepas krisis politik berterusan sejak Februari 2020. Isu lompat parti perlu ditangani.
"Kita perlu sedar yang pada masa ini, sistem pilihan raya kita tidak membezakan undi untuk calon atau untuk parti," katanya dalam kenyataan semalam.
Satu lagi perkara yang dibangkitkannya adalah dana politik.
"BN cuba melakukan sesuatu ketika era Najib Razak, tetapi tiada kewibawaan politik untuk melakukannya.
"(Kerajaan) PH memulakan kajian tentangnya, terutama dari segi ketelusan dan had dana, walaupun Dr Mahathir Mohamad tidak setuju dengan idea (memberi) dana awam kepada parti politik.
"Ini perkara yang perdana menteri baru boleh kendalikan dengan bekerja bersama-sama semua parti politik utama, kerana masalah penglibatan dalam perniagaan dan dana politik tanpa kawalan sudah berlaku sekian lama dalam politik kita," katanya lagi.
Berkenaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun pula, dia berkata apa yang telah diluluskan Parlimen ketika pentadbiran PH dua tahun lalu perlu dilaksanakan secepat mungkin.
"Ketika saya bangkitkan perkara ini kepada kerajaan PN, dinyatakan Undi18 boleh dilaksana pada pertengahan 2021, tetapi pihak berkuasa terus melengahkannya.
"Walaupun dapat difahami yang pendaftaran automatik mengambil masa, penurunan pendaftaran pengundi kepada 18 tahun boleh dibuat tanpa penangguhan," katanya lagi.
Pada 25 Ogos lalu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PH bagi membincangkan soal pembaharuan, walaupun setakat ini belum ada pengumuman yang konkrit berkenaannya.
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata pembangkang sedia untuk menerima CSA tetapi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata masih terlalu awal untuk memutuskannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai