Kula gesa kes serang pengawal keselamatan diklasifikasi kes bunuh
Seorang ahli parlimen DAP menggesa agar individu yang dituduh menyerang pengawal keselamatan dikenakan tuduhan membunuh susulan kematian mangsa pada 28 Ogos, lapan bulan selepas dia dirawat di hospital.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mendesak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Noor Azhar Muhammad yang didakwa pada bulan Januari di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
"Pada 29 Disember 2020, Thava Sagayam, 64, cedera selepas diserang oleh seorang tetamu yang tinggal di sebuah kondominium di Jalan Yang Kalsom, Ipoh. Nampaknya, tetamu itu marah kerana anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup.
"Mendiang dimasukkan ke hospital kerana cedera yang dialami dan ditidurkan selama lebih dari tujuh bulan sehingga dia keluar hospital dan seterusnya meninggal dunia," kata Kualasegaran dalam satu kenyataan.
Maklumat Noor Azhar tular di media sosial yang menunjukkan bahawa dia adalah ahli Pemuda Bersatu Kota Bharu. Polis Perak mengesahkan individu tersebut sebelum ini didakwa dalam kes tersebut.
Kulasegaran menggesa timbalan pendakwa raya mengarahkan siasatan menyeluruh dan mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh.
"Penyerang diikat jamin. Memandangkan situasi berubah iaitu melibatkan kematian, kes sebelumnya di mahkamah perlu ditarik balik dan penyerang itu perlu didakwa atas tuduhan membunuh.
"Kes ini juga mencerminkan isu moral yang lebih besar, tidak mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan dan kecenderungan untuk bertindak ganas terhadap yang lemah ketika keperluan ego tidak dipenuhi," kata Kulasegeran.
"Keganasan ada di sekitar kita. Kita mesti mengecam kejadian yang menyebabkan kematian orang tidak bersalah ini," tambahnya
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Polis Perak, Mior Faridalthrash Wahid berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya semalam dengan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).
"Berdasarkan perkembangan baharu ini, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut," katanya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes tersebut.
Mior mengatakan kejadian itu, yang dirakam kamera litar tertutup dan tular baru-baru ini, berlaku pada 29 Disember 2020 dan polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Noor Azhar didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan dan kes itu dijadualkan disebut semula pada 9 September untuk penjatuhan hukuman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai