Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perak disaran buka PPV di setiap DUN

Kerajaan Perak disaran agar membuka pusat pemberian vaksin (PPV) di setiap dewan undangan negeri (DUN) dalam usaha mempercepatkan imuniti kelompok.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Keselamatan Negeri Perak dan Jabatan Kesihatan Negeri wajar melibatkan wakil-wakil rakyat agar imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.

"Sesuai dengan titah diraja semasa perasmian sidang DUN baru-baru ini yang mana proses vaksinasi ini perlu diluaskan ke pedalaman-pedalaman atau mereka yang tidak mempunyai akses jalur lebar.

"Exco Kesihatan Perak (Mohd Akmal Kamaruddin) perlu melibatkan semua wakil-wakil rakyat secara langsung dalam menjayakan imuniti kelompok khususnya di pedalaman dan kampung-kampung," katanya dalam kenyataan media, hari ini

Sebagai rekod sehingga kini seramai 1.17 juta penduduk di negeri itu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, melibatkan 45 pusat pemberian vaksin di seluruh Perak.

Ia membabitkan 46.8 peratus daripada populasi penduduk keseluruhan manakala jumlah pendaftaran melibatkan 1.55 juta penduduk.

Sementara itu Nizar berkata, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad wajar menilai kembali peranan exco tersebut agar lebih terkehadapan sebagai sebahagian daripada pentadbiran negeri dari segi penyampaian maklumat dan data terkini mengenai jangkitan Covid-19 di Perak.

Katanya, risalah ringkas mengenai keperluan vaksinasi perlu dibekalkan ke pusat khidmat wakil-wakil rakyat.

"Pusat khidmat Adun merupakan entiti yang sangat rapat dengan rakyat. Wakil-wakil rakyat boleh bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dengan menyalurkan maklumat keperluan vaksinasi oleh penduduk kampung.

"Masih terdapat aduan daripada penduduk kampung yang tidak dipanggil walaupun telah lama berdaftar dengan MySejahtera," jelasnya.

Bekas menteri besar Perak itu juga berkata, lebih merisaukan lagi, kes positif di Perak semakin naik sehingga mencecah empat angka sehari.

"Exco Kesihatan yang ada sekarang sekadar tangkap muat sahaja. Sebagai keutamaan, wakil-wakil rakyat perlu dilibatkan dalam proses vaksinasi pelajar-pelajar sekolah supaya dapat melancarkan proses pembukaan persekolahan," kata Nizar.

Hari ini, Perak mencatatkan 1,208 kes baru.