Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP beri amaran keadaan Covid-19 di Johor

Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin menggesa kerajaan mempertingkat keupayaan sistem penjagaan kesihatan dan menambah pemberian vaksinasi di Johor, di tengah-tengah lonjakan kes dan kematian Covid-19 di negeri ini.

Dia menunjukkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di Johor sudah mencapai 90 peratus manakala negeri itu terus menjadi antara tercorot dalam vaksinasi di seluruh Malaysia.

"Sangat membimbangkan untuk melihat tren peningkatan kes positif dan kematian berkaitan Covid di Johor dari pertengahan Julai hingga sekarang, walaupun terdapat penurunan kes di ICU dalam dua minggu terakhir.

"Perbezaan trend di ICU dan angka kematian mungkin disebabkan oleh lebih banyak kes brought in dead (kematian di rumah).

“Kadar vaksinasi penuh Johor masih merupakan yang terendah di negara ini walaupun merupakan salah satu negeri perindustrian di luar Lembah Klang.

"Terdapat keperluan untuk melihat secara menyeluruh situasi Covid di Johor dengan meningkatkan kapasiti ICU di lokasi-lokasi di Johor yang kehabisan katil ICU.

"Selain itu, saya meminta kerajaan untuk menggandakan atau bahkan meningkatkan kadar vaksinasi di Johor sebelum terlambat," kata Yeo dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan, Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan kerajaan Johor kata Yeo telah dimaklumkan pihaknya mengenai keadaan buruk Covid-19 di negeri itu awal bulan ini.

"Tetapi setakat ini, tidak ada usaha bersepadu yang terlihat. Semoga menteri kesihatan yang baru, Khairy Jamaluddin, lebih memperhatikan keadaan Covid-19 di Johor,” kata Yeo, sambil menyatakan harapannya supaya kerajaan persekutuan tidak meminggirkan rakyat Johor dalam memerangi wabak itu

Setakat tengah malam 27 Ogos, hanya 31.5 peratus daripada jumlah penduduk di Johor yang telah menerima vaksin lengkap dua dos.

Sementara itu, Johor telah menyaksikan purata 47 kematian sehari dalam 7 hari terakhir.

Hari ini, negeri di selatan Semenanjung itu mencatatkan 1,852 kes baru.