'Perketat SOP sebelum buka semula sekolah, sempadan dan ekonomi'
Ahli politik veteran, Rafidah Aziz menyuarakan kembimbangan sekiranya kerajaan mempertimbang pembukaan semula sekolah, sempadan dan ekonomi tanpa meletakkan langkah pencegahan yang ketat.
"Keputusan sebegini tentunya kedengaran baik kerana terdapat kesan negatif terhadap ekonomi, masyarakat dan pendidikan anak-anak kita (ekoran kawalan pergerakan).
"Namun ada persoalan yang perlu ditangani kerajaan. Contohnya mengenai pembukaan sempadan - apakah kerajaan benar-benar telah menerapkan semua langkah pencegahan perlindungan yang diperlukan untuk memastikan Covid-19 dan semua variannya, seperti Delta dan kemungkinan Lamba, tidak mudah merebak," soalnya dalam kenyataan hari ini.
Rafidah adalah salah seorang menteri paling berpengalaman di Malaysia yang pernah berkhidmat dalam kerajaan dari 1980 hingga 2008 sebagai menteri perusahaan awam, menteri perdagangan dan industri, dan menteri perdagangan dan industri antarabangsa.
Kebimbangannya itu walaupun setelah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan 60.2 peratus populasi dewasa di Malaysia, atau 14,095,554 orang, telah lengkap divaksin setakat 26 Ogos lalu.
Pada masa sama, 339 kematian Covid-19 lagi dilaporkan semalam, menjadikan angka kematian 15,550 orang. Jumlah kes baru pula kekal melebihi 20,000 sehari.
Mengenai pembukaan semula sekolah yang ditangguhkan kepada Oktober, Rafidah bertanya apakah langkah-langkah pembasmian kuman akan dilaksanakan di setiap sekolah.
"Setiap orang yang mempunyai hubungan dengan sekolah, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mesti divaksin dan menjalani ujian dan diberi kit ujian.
"Daripada pengetua dan guru, pejabat dan kakitangan pentadbir hingga pekerja kantin, pemandu bas sekolah dan pengawal, tukang kebun dan juga anak-anak sekolah itu sendiri," katanya.
Selagi langkah itu tidak dilaksanakan, katanya lagi, sekolah mesti kekal ditutup agar tidak mendedahkan pelajar kepada risiko jangkitan.
Berhubung soal pembukaan semula sempadan, Rafidah membangkitkan persoalan berkenaan apa yang akan dilakukan jika pasangan diizinkan untuk bertemu semula, jika salah seorang sudah menerima dua dos vaksin tetapi sebenarnya sudah dijangkiti virus dan tanpa gejala.
"Mereka berisiko menyebarkan virus itu kepada pasangan, orang tua yang rentan dan siapa pun yang mereka kunjungi. Bukankah itu akan menghasilkan kluster baru?"
Oleh itu, Rafidah berkata kerajaan tidak boleh membiarkan saja kemungkinan seperti itu, tetapi harus menetapkan SOP keselamatan mandatori seperti ujian sebelum dan selepas perjalanan untuk setiap individu yang terlibat.
Dia juga dia menggesa agar ujian mandatori diadakan secara berkala terhadap pekerja dalam sektor yang sudah dibuka semula, seperti restoran dan kilang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai