Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan kes meningkat, bekalan ubat penting rawat Covid-19 berkurang di seluruh negara

Banyak hospital kerajaan di seluruh negara kini berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan, termasuk yang diperlukan untuk merawat kes Covid-19 yang kritikal, menurut sejumlah sumber dalam sistem kesihatan negara.

Antara ubatan yang kurang adalah yang digunakan secara meluas dalam prosedur intubasi di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan sebab utama kekurangan itu adalah bilangan tinggi pesakit Covid-19 yang perlu dipasangkan dengan alat bantuan pernafasan.

Sumber berkata, antara ubat yang semakin berkurang adalah Precedex, Propofol, Morphine, Rocuronium dan Atracurium - digunakan untuk sedatif dan mengendurkan otot (muscle relaxant).

Difahamkan Clexane, ubat antigumpal penting yang digunakan dalam rawatan Covid-19, dan Fentanyl, antara ubat yang digunakan untuk anestesia, juga kian berkurang di sekurang-kurangnya sebuah hospital.

Sejumlah hospital turut dikatakan kekurangan Pantoprozale, ubat yang digunakan untuk merendahkan kadar asid dalam perut.

Ia tidak berkait secara langsung dalam rawatan Covid-19 tetapi diberikan kepada sakit yang mengalami gastrik atau pendarahan usus akibat ubat lain yang digunakan untuk merawat wabak itu.

Luar daripada kebiasaan

Doktor di hospital di beberapa negeri memberitahu Malaysiakini yang walaupun bekalan ubat belum habis sepenuhnya, mereka bimbang jika berlaku peningkatan kes sebelum bekalan baru tiba.

Menurut mereka, yang enggan nama didedahkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media, kekurangan itu adalah satu yang di luar kebiasaan untuk ICU di hospital kerajaan.

Seorang doktor di sebuah hospital Covid-19 yang besar berkata pada satu tahap, bekalan vitamin seperti Vitamin C juga turut kekurangan, walaupun ia sudah bertambah baik.

"Di hospital saya, kita cuma ada bekalan suntikan Precedex untuk kurang dari sebulan, dan untuk suntikan Propofol pula kurang dari dua bulan.

"Jadi untuk jimatkan dua ubat ini, doktor kini kalau boleh akan gunakan Midazolam untuk sedatif," kata seorang lagi sumber di sebuah hospital di Malaysia Timur.

Kata doktor itu lagi, doktor di ICU di negeri lain juga memaklumkan mereka turut mengalami kekurangan bekalan Midazolam.

Pemeriksaan mendapati hospital di Lembah Klang juga mengalami kekurangan bekalan ubat.

"Dengan tahap sekarang, di mana jumlah kes di Jabatan Kecemasan sudah berkurang, dan pesakit Kategori 4 dan 5 juga sudah berkurang, bekalan ubat kita boleh bertahan untuk selama 25 hingga 30 hari.

"Tapi ia tak akan bertahan sehingga itu jika kadar penggunaan meningkat. Jadi kami kena tambah stok yang ada - untuk sekurang-kurangnya tiga bulan - jadi kami tak berdepan masalah jika kes meningkat sekali lagi," katanya yang merupakan pegawai kesihatan berpangkat tinggi yang terlibat dalam operasi harian di hospital Covid-19.

Seorang sumber di sebuah lagi hospital di Lembah Klang berkata mereka juga berdepan kekurangan bekalan, tetapi masalah itu berlaku "sekali-sekala".

"Kami akan dimaklumkan jika berlaku kekurangan, tetapi setakat ini ia secara 'on and off', dan masih boleh dikendalikan kerana kami masih ada alternatif," katanya lagi.

Malaysiakini juga difahamkan yang masalah kekurangan pengendur otot, Rocuronium and Atracurium adalah lebih teruk. Ia digunakan untuk melumpuhkan pesakit yang paru-paru terjejas teruk akibat jangkitan Covid-19.

Ini kerana pesakit dengan paru-paru yang teruk yang mengalami hypoxia berkemungkinan menarik nafas dengan jumlah yang besar, menyebabkan pengembangan paru-paru secara berlebihan. Untuk melindungi pesakit ini, kata pakar, mereka perlu diletakkan dalam keadaan lumpuh.

Difahamkan Rocuronium dan Atracurium - yang digunakan untuk intubasi pesakit - juga kekurangan di hospital bukan Covid-19.

"Pada satu tahap, dua ubat ini habis. Jadi kami gunakan Scoline sebagai alternatif," kata seorang doktor, sambil menambah yang dia diberitahu seorang doktor di negeri lain yang berdepan masalah sama.

Walaupun Scoline boleh digunakan dengan selamat untuk intubasi pesakit, ia dianggap sebagai "amalan yang sudah begitu lama" dan "bahaya dari segi santifik" untuk digunakan bagi mengekalkan keadaan lumpuh pesakit dalam ICU.

"Jadi memang tiada penggunaan (Scoline) dalam ICU," kata pakar itu lagi.

Tangani kekurangan bekalan seluruh negara

Menurut sumber, pengunaan ubat-ubatan sedatif yang tinggi adalah disebabkan peningkatan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Di beberapa hospital Covid-19, bilangan pesakit yang perlu intubasi melebihi 100 orang dalam masa sebulan, sejak bermulanya gelombang penularan pada Mei lalu.

Seramai 11,793 pesakit di seluruh negara telah diintubasi sejak 8 Mac 2020.

Mohd Shafiq Abdullah

Ketika dihubungi, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah berkata, kekurangan bekalan ubat di seluruh negara adalah akibat "peningkatan mendadak" penggunaan untuk rawatan Covid-19.

Katanya, penggunaan ubat-ubatan ini "meningkat secara drastik" dalam tempoh enam hingga 11 bulan, dengan peningkatan terbaru bermula Mei lalu.

Bagaimanapun, dia memberi jaminan yang bekalan ubat kementerian tidak pernah habis sepenuhnya tetapi hanya "dibekalkan secara berperingkat untuk menepati keperluan pemerolehan".

"Pelbagai usaha telah dibuat oleh Program Perkhidmatan Farmasi untuk menangani isu ini seperti melalui pemerolehan kecemasan, bekerja secara rapat dengan pembekal kontrak dan mencari sumber alternatif dan berbincang tentang ubat alternatif yang sesuai dan boleh digunakan, bagi menjamin kesinambungan rawatan untuk manfaat lebih besar kepada rakyat," katanya.

Setakat 26 Ogos, terdapat 265,841 kes aktif Covid-19 dengan seramai 999 pesakit di ICU. Daripada jumlah itu, seramai 487 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Walaupun keadaan dilihat semakin balik di Lembah Klang, Labuan dan Negeri Sembilan, beberapa negeri lain berdepan peningkatan kes positif dan kematian.

[Baca berita asal]