MMA harap KJ mampu atasi isu lama kesihatan dalam 100 hari
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Khairy Jamaluddin menyelesaikan masalah yang dihadapi bidang perubatan negara ini sejak sekian lama, termasuk kurangnya jaminan keselamatan pekerjaan dihadapi doktor kontrak muda.
Dalam kenyataan hari ini Presiden MMA Dr M Subramaniam isu tertangguh itu wajar ditangani dalam tempoh 100 hari pertama Khairy menjadi menteri kesihatan.
Katanya MMA juga menantikan idea-idea segar, baru dan inovatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini diletakkan di bawah kepimpinan Khairy.
"Kami mengalu-alukan peranan baru Khairy dan pada masa sama berharap dapat menjalinkan kerja sama lebih erat dengan KKM," katanya.
Menurut Subramaniam lagi sebelum ini Khairy telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang berkebolehan di kementerian-kementerian lain termasuk sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi dan menteri yang bertanggungjawab dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya KKM mungkin merupakan kementerian terpenting buat masa ini kerana negara sedang berjuang mengatasi wabak Covid-19.
"Kami berharap sebuah suruhanjaya kesihatan ditubuhkan untuk memandu Malaysia keluar dari pandemik dan ia akan menjadi agenda utama menteri terbabit," katanya.
Pagi tadi Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembentukan kabinetnya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Ketika kebanyakan menteri lama dikekalkan, Khairy pula berpindah kementerian untuk menjaga KKM, manakala Dr Ahmad Baba yang sebelumn ini menjadi menteri kesihatan mengisi tempat Khairy di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menurut Subramaniam ada banyak masalah yang belum dapat diselesaikan di bawah KKM seperti ruang menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap.
"MMA berharap isu ini dapat diatasi di bawah Khairy dan mungkin dia boleh menyelesaikannya dalam masa kurang dari 100 hari!
"Kami juga berharap akan ada pengiktirafan lebih besar untuk perawatan primer dalam ekosistem penjagaan kesihatan kita serta perlunya meningkatkan kerjasama di antara pihak swasta dan awam dalam pengurusan penjagaan kesihatan untuk negara," katanya.
Dilaporkan sejumlah 23,000 doktor kontrak sedang menunggu tawaran untuk jawatan tetap di bawah KKM.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sangat berharap agar doktor kontrak terbabit diberi jawatan tetap dalam "dua tahun atau kurang" kerana Akta Pencen akan dipinda dan dibentangkan di Parlimen.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai