Najib pertahan kabinet Ismail Sabri meskipun sedar ramai kecewa
Bekas perdana menteri Najib Razak mempertahankan barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob meskipun menyedari ramai rakyat kecewa dengan pengumuman pembentukan itu.
Najib berkata dia faham kenapa perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan sebegitu bagi mengelak perubahan ketika tempoh kritikal ini.
"Saya perhati ramai yang kecewa dengan pengumuman kabinet baru hari ini. Seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah kabinet 'recycle'.
"Bagaimanapun, saya faham kenapa PM9 dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berikut. Agar mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini.
"Pun begitu, sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin," kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Antaranya kementerian yang bertukar terajunya kata Najib antaranya, luar negeri; kesihatan; pertahanan; sains , teknologi dan inovasi; komunikasi dan Multimedia; pembangunan luar Bandar dan usahawan dan koperasi.
Terdahulu, perdana menteri mengumumkan pembentukan barisan kabinet baru hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.
Ismail Sabri ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.
Katanya, setiap menteri juga mesti menunjukkan prestasi mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang jawatan.
Dalam pada itu, Najib percaya bahawa dasar Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pengawalan Covid-19 juga akan berubah kerana ketuanya telah bertukar.
“Saya percaya bahawa dasar MKN bagi pengawalan Covid juga akan berubah sebab ketua MKN telah bertukar, katanya.
Secara konvensyen MKN diterajui oleh perdana menteri dan sebelum ini dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin.
Najib tidak mengulas lanjut tetapi Ismail Sabri sebelum ini menggunakan analogi "pintu" setelah dia tidak sehaluan dengan menteri perdagangan dan industri antarabangsa ketika itu, Azmin Ali yang ingin membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi semasa wabak Covid-19.
Ismail Sabri, yang pada masa itu adalah menteri pertahanan dan menteri kanan keselamatan yang bertanggung jawab ke atas sekatan pergerakan berkaitan Covid-19, menghantar mesej tersirat di media sosial bahawa dia telah "menutup pintu depan tapi..." .
Ismail Sabri enggan mengulas mengenai catatan itu tetapi sumber dalaman kerajaan mendakwa dia telah berselisih pendapat dengan Azmin mengenai cara menguruskan wabak Covid-19.
Najib berkata dengan Ismail Sabri sekarang sebagai perdana menteri, dia mempunyai kuasa bagi membuat keputusan muktamad.
"Dan jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baru yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalangkan,” katanya.
Menurut Najib lagi harapannya cuma satu iaitu kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian.
“Dan PM9 akan gugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu.
"Insya-Allah, saya akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai