Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO: Tubuh syarikat jaga Taman Negeri Pahang 'boleh ancam pemuliharaan'

Enakmen Taman Negeri Pahang Corporation, yang diluluskan dalam sidang DUN semalam, berisiko mengancam kepelbagaian bio dan hutan yang dilindungi di negeri itu, menurut NGO alam sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Ia juga menghala ke arah pengkomersialan taman negeri, menurut Pengerusi MNS Pahang Noor Jehan Abu Bakar.

"Ini sangat bahaya kerana akan mendedahkan taman neeri kepada risiko pembangunan tidak lestari dan eksploitasi sumbernya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Enakmen itu, katanya, yang akan membenarkan penubuhan Taman Negeri Pahang Corporation yang mempunyai kuasa yang luas, tidak menjelaskan isu pemuliharaan.

Seksyen VI enakmen itu menyatakan pihak berkuasa akan dari masa ke masa memutuskan kawasan mana yang akan dimasukkan atau atau tidak lagi termasuk kategori taman negeri, dan diletakkan di bawah pentadbiran Taman Negeri Pahang Corporation.

Bagaimanapun, proses penyertaan dan penyingkirannya tidak dinyatakan dan ia berpotensi mendedahkan kawasan itu kepada risiko eksploitasi.

Ia juga tidak menyebut tentang peruntukan berkenaan akses Orang Asal dan masyarakat setempat terhadap sumber yang terdapat dalam taman negeri, katanya lagi.

Selain itu, masyarakat sivil juga tidak dilibatkan dalam perangkaan enakmen tersebut, katanya lagi.

Enakmen itu antara lain menyatakan Taman Negeri Pahang Corporation dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti, melindungi dan mempromosi taman negeri di Pahang.

Untuk itu, ia diberi kuasa untuk mentadbir taman negeri dan boleh menubuhkan syarikat untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut, menurut enakmen tersebut.

Ini bermakna, ia juga boleh terlibat dalam "kegiatan komersial untuk mempromosi dan membangunkan taman negeri Pahang" dan "menyediakan bantuan dalam sebarang bentuk kepada pihak yang ingin membangunkan" taman.

Ia juga boleh "melibatkan diri dalam mana-mana kontrak atau perjanjian, dan berunding dengan mana-mana pihak dalam sebarang perkara yang dirasakan wajar".

Entiti itu akan didanai oleh Kumpulan Wang Disatukan Taman Negeri Pahang.

Menurut enakmen itu, dana diraih daripada peruntukan kerajaan negeri, pendapatan menerusi sebarang projek syarikat atau yang diperoleh daripada pajakan atau bayaran lain.

Pahang memiliki kawasan hutan hujan terbesar di Semenanjung Malaysia yang menjadi habitat tumbuhan dan haiwan liar yang dilindungi.

Bagaimanapun, sebahagian kawasan itu telah ditebang atas pelbagai sebab, antaranya pembalakan dan perlombongan.

Buat masa ini, masyarakat Orang Asal di Pos Lanai, Hutan Simpan Kekal Ulu Jelai sedang membantah cadangan perlombongan nadir bumi Lanthanide - melibatkan kawasan seluas 924 padang bola sepak - berhampiran penempatan mereka.

Kawasan yang dicadangkan untuk perlombongan itu seluas 622 hektar dan terletak enam kilometer dari Pos Lanai.

Pada Mac lalu, Jabatan Alam Sekitar menolak cadangan terma syarikat perlombongan Aras Kuasa Sdn Bhd untuk penilaian impak alam sekitar bagi projek tersebut.

Semalam, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan pajakan melombong (ML) telah dikeluarkan untuk projek itu.

[Baca berita asal]