Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjaja tarik balik dakwaan diugut polis dihadapkan ke mahkamah esok

Seorang penjaja dari Kepong, Kuala Lumpur dijangka dihadapkan pertuduhan esok atas dakwaan membuat laporan polis palsu pada dua bulan lalu.

Lim Thiam Fook, 21, dipercayai akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

Jika disabit bersalah, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 6 Jun lalu, Lim dan pembantunya yang berusia 13 tahun membuat sidang media bersama Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Dalam sidang media itu, dia mendakwa telah diugut oleh tiga anggota polis pada 2 Jun selepas gagal menunjukkan surat kebenaran beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh.

Dia juga menuduh anggota polis menumpahkan sup jualannya dengan alasan untuk "memeriksa dadah" sebelum mengambil RM500 daripadanya untuk "menyelesaikan isu itu".

Ketika kes itu disiasat polis, dia gagal mengenal pasti anggota polis yang terlibat ketika prosedur pengecaman dibuat.

Keesokannya, Lip Eng mengadakan sidang media dengannya sekali lagi, untuk memaklumkan dia telah menarik balik laporan polis yang dibuat.

Lip Eng mendakwa penjaja itu menipu polis, media dan orang ramai, bagaimanapun dia menafikannya dan berkata kejadian tersebut memang berlaku.

Lim mendakwa dia menukar keterangan polis kerana mahu perkara tersebut selesai secepat mungkin kerana tekanan yang dihadapinya.

Pada 23 Jun, Lim sekali lagi menukar keterangannya dan mendakwa insiden ugutan itu tidak berlaku.

[Baca berita asal]