Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tak wajar gesa undi percaya dilaksanakan segera, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berpandangan gesaan agar undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dibuat segera di Parlimen adalah tidak wajar.

Bekas perdana menteri itu berkata, jika Ismail Sabri gagal mendapat sokongan majoriti ketika ia dilaksanakan, ia akan membawa kesan negatif terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

"Saya tidak fikir (perlu dilaksanakan undi percaya kepada Perdana Menteri), kita tidak mahu ada pertukaran lagi sekali (bagi jawatan) perdana menteri.

"Jadi, kalau (bawa usul undi percaya) pergi ke Parlimen, (dan) dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (kita) kena tukar lain (perdana menteri)...jadi dunia sedang ketawakan (negara kita), kita tidak ada (perancangan) nak bagi jatuh (kerajaan ini)," katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Mengulas isu berlainan, Mahathir yang juga pengerusi Pejuang berkata dia akan melihat siapa yang akan disertakan dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, sebelum membuat keputusan untuk menyertainya atau tidak.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Ismail Sabri dilaksanakan segera, untuk mengabsahkan majoriti sokongan terhadapnya.

Menurut Ku Li, ia bagi membolehkan perdana menteri kesembilan itu mentadbir negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan bahawa perdana menteri yang baru dilantik perlu melaksanakan undi percaya di Parlimen dengan segera.