Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MCA harapkan menteri perumahan yang fahami kampung baru Cina

MCA hari ini menyuarakan harapan mereka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar pemimpin parti itu dilantik menteri perumahan dan kerajaan tempatan yang sensitif kepada keperluan penduduk Cina di petempatan kampung baru.

Menurut Naib Presiden MCA Ti Lian Ker penduduk di kampung baru terabai sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas PRU 2018.

"Perdana menteri mempunyai banyak kampung baru di kawasan parlimennya di Bera, justeru dia dapat memahami dan berempati dengan kekecewaan penduduk kampung baru ketika jaringan mereka terputus atau terganggu.

"Tidak semua yang baru itu baik dan tidak semua yang lama itu buruk.

"Dalam hal pentadbiran kampung baru, kita memerlukan seorang menteri - atau paling tidak seorang timbalan menteri - yang berempati dan memahami keperluan dan harapan penduduk kampung baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod sebelum ini jawatan menteri perumahan dan kerajaan tempatan diisi oleh pemimpin MCA sehinggalah BN hampir dikalahkan pembangkang pada PRU ke-13.

Selepas BN membentuk kerajaan jawatan berkenaan diserahkan kepada ahli parlimen Umno, iaitu Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud) sebelum digantikan pula oleh Noh Omar (Tanjung Karang).

Selepas PH menjadi kerajaan portfolio itu diberikan kepada Ahli Parlimen Ampang yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. Apabila PH ditumbangkan melalui tindakan sejumlah ahli parlimen PKR bersama Bersatu berpaling tadah, Zuraida dikekalkan dengan jawatan tersebut.

Dakwa ramai mengadu

Kata Ti, ketika Umno menjaga kementerian tersebut menteri terbabit terus memanfaatkan sistem yang dikembangkan oleh MCA untuk memenuhi keperluan penduduk kampung baru.

Antara lain, katanya, MCA melantik rangkaian pegawai pembangunan desa dan ketua kampung yang baru, dan seorang wakil rakyat dari MCA dilantik sebagai exco kerajaan negeri yang menjaga kampung-kampung baru.

Namun, tambah Ti, ketika PH mengambil alih kuasa dan DAP mendapat sokongan hampir 90 peratus penduduk kampung baru, gabungan itu gagal menjangkau kehendak komuniti terbabit dan tiada kepakaran untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan MCA.

Semasa kerajaan Perikatan Nasional katanya MCA melantik pegawai tertentu untuk berurusan dengan Zuraida bagi mengembalikan struktur kuasa di petempatan berkenaan namun usaha itu gagal.

“Kini selepas PN jatuh, ada jurang ketara di antara kerajaan PH dan PN dalam hal pentadbiran kampung baru dan penduduknya.

"Ramai penduduk kampung baru mengadu dan mengeluh kepada saya menyatakan mereka secara kolektif berasa terabai sejak munculnya 'Malaysia Baru' pada 2018.

"Justeru saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Ismail Sabri mengubah rasa dianaktirikan itu ekoran perubahan di bawah Malaysia Baru," katanya.

[Baca berita asal]