Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes tetak: Jiji serah diri, Jimi dan Isye masih dicari

Salah seorang suspek yang menjadi buruan polis susulan kes tetak yang menyebabkan seorang lelakk cedera parah menyerah diri kepada polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki yang dikenali sebagai 'Jiji' berusia 35 tahun itu tampil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, pada 7.30 malam.

Sehubungan itu katanya, Mahkamah Majistret Bachok mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini.

"Kita masih mengesan dua lagi suspek iaitu Muhammad Azmi Abdul Aziz, atau dikenali sebagai Jimi dan seorang lagi suspek yang sudah kita kenal pasti dengan gelaran 'Isye'.

"Polis meminta orang awam yang mengetahui kedudukan mereka memaklumkan kepada balai polis terdekat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan mangsa Mohd Roslaidi Arifin, 42, putus ibu jari sebelah kanan, luka di bahagian atas kepala, betis kanan dan lutut kiri akibat ditetak dengan senjata tajam. 

Kejadian berpunca disebabkan mangsa ingin mencari seorang lelaki untuk berbincang mengenai kecurian burung murai peliharaanya yang disyaki dicuri.

Mangsa dilaporkan pergi ke lokasi kejadian iaitu rumah seorang daripada tiga lelaki itu kerana mendapati lelaki yang ingin dicarinya sering melepak di situ, namun lelaki itu tiada ketika kejadian dan bertindak menggari seorang suspek.

Mangsa kemudian diserang oleh ketiga-tiga suspek dengan menggunakan sebilah golok dan pedang sehingga mengalami kecederaan.