Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangan berebut jawatan, pesan MT Umno

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Alwi Che Ahmad, menyeru ahli-ahli parlimen kerajaan agar tidak berebut jawatan untuk mengisi posisi kabinet menjelang pelantikan jemaah menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, perebutan jawatan antara ahli-ahli parlimen semestinya tidak perlu kerana ia bukan ghanimah (harta rampasan perang) yang diperlukan tetapi kebaikan untuk masa depan negara.

"Kita ada 114 ahli parlimen dan semestinya ramai yang layak tetapi tak usahlah berebut jawatan kerana bukan ghanimah perang yang kita kehendaki tetapi masa depan negara yang cerah untuk negara yang kita kehendaki.

"Sekarang ini, kita perlukan kabinet yang baru untuk memacu negara keluar dari kemelut ini dan saya yakin kebijaksanaan perdana menteri yang baru dan rakan-rakannya akan terserlah," katanya kepada media ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Alwi yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kok Lanas berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentukan kabinet baru oleh perdana menteri.

Sementara itu tambahnya, perdana menteri juga mempelawa pembangkang untuk bersama tangani negara bagi tujuan pemulihan dan mencegah wabak Covid-19.

"Masa inilah pembangkang perlu tunjukkan kepada Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong dan rakyat supaya parti-parti politik lupakan perbezaan dengan mengikuti kerajaan dalam menangani masalah negara.

"Saya juga ingin menyeru supaya semua orang memandang positif dan lupakan perbezaan 'let's fight together' yang mana akhirnya kita terpaksa hidup di dalam keadaan Covid-19 ini," kata Mohd Alwi.