Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DUN Kelantan ucap tahniah kepada Ismail Sabri

Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

Ucapan tahniah itu diumumkan Speaker DUN, Abdullah Ya'kub di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

"Besar harapan rakyat untuk melihat negara dipacu ke arah yang lebih baik bagi mendepani cabaran semasa politik dan ekonomi selepas ini," katanya.

Kelmarin, Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan bagi menggantikan posisi Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu persidangan DUN Kelantan kali ini bermula hari ini hingga Rabu diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adu ) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Abdullah berkata, semua yang hadir perlu mengisi kedatangan dan membuat imbasan menggunakan QR Code yang disediakan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial yang ditetapkan.

"Ucapan terima kasih juga buat warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan tugas menjalani ujian saringan Covid-19 kepada kami semalam," katanya.

Terdahulu DUN Kelantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Adun Melor, Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia pada April lalu.

Ucapan takziah juga disampaikan buat keluarga Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail, yang kehilangan salah seorang daripada ahli keluarga pagi ini.