Daftarkan Muda, laksana Undi 18 jika betul dengar suara anak muda
Parti Demokratik Malaysia (Muda) yang masih bergelut dengan masalah pendaftarannya menanggapi janji Ismail Sabri dengan menggariskan tiga tuntutan mereka sebagai bukti kesungguhan perdana menteri baru itu.
Naib Presiden Muda, Mutalib Uthman, berkata kalau kerajaan benar-benar mahu semua pihak menyertai mereka memulihkan negara, langkah awal yang boleh diambil ialah meluluskan Muda.
"Kita sayangkan negara. Kita sama-sama mahu negara kita keluar dari kemelut ini.
"Untuk ingatan, Muda adalah parti pertama yang mencadangkan supaya kerajaan dan pembangkang duduk semeja, tapi kerajaan PN ketika itu apabila sudah mahu tumbang, barulah nak buat itu semua," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Semalam Ismail Sabri berkata kerajaan akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baru ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar untuk memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.
Untuk mencapai objektif dan fokus tersebut, katanya, penglibatan anak muda amat diperlukan.
"Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.
"Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara," katanya dalam ucapan rasmi pertama selaku perdana menteri kesembilan Malaysia.
Ismail Sabri dilantik menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti di parlimen.
Muthalib berkata Muda berharap azam menteri yang membawa dasar "Keluarga Malaysia" direalisasikan sebaiknya dan dibuktikan dengan melantik ahli parlimen pembangkang menjadi menteri.
"Baru betul Keluarga Malaysia. Dan kalau betul kerajaan serius nak bersama pulihkan negara, luluskan Muda," katanya.
Selain itu kata Muthalib keikhlasan Ismail Sabri juga perlu dibuktikan dengan memberikan peruntukan setara di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
"Dan kalau betul perdana menteri menyatakan komitmen kerajaan untuk mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda dalam menjayakan agenda besar pemulihan negara, laksanakan Undi 18 sekarang," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai