Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri pendidikan baru digesa segera selesaikan isu pemeriksaan haid

Selepas pemerintahan Perikatan Nasional yang diterajui parti Bersatu tumbang, salah satu perkara tidak diselesaikan adalah siasatan membabitkan isu pemeriksaan terhadap pelajar datang haid secara mengejut di sekolah.

Sementara menteri pendidikan baru dijangka akan dilantik tidak lama lagi, ada saranan perkara itu perlu disenaraikan sebagai keutamaan - terutama apabila pelajar bakal kembali ke sekolah.

Bagi Organisasi Bantuan Wanita (WAO), menteri pendidikan yang bakal dilantik datang mesti menyusun mekanisma untuk menangani aduan yang dilaporkan mengenai amalan pemeriksaan mengejut tersebut.

Kumpulan itu mendakwa bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - yang berfungsi dalam hal kebajikan pelajar - belum mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu sebelum ini.

"Mereka mesti mempercepat (siasatan) dan menangani masalah ini dengan serius. Menteri baru harus mencari mekanisma untuk menangani aduan pelajar dengan cara yang bebas dari pengaruh luaran, dan hanya bertumpu pada kebajikan pelajar," kata WAO kepada Malaysiakini.

Kenyataan WAO itu juga dipersetujui Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Yeoh, yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, menyatakan harapannya agar kerajaan baru akan menjadi pemerintah yang fokus bekerja untuk rakyat, terutama pada isu-isu yang mempengaruhi kanak-kanak di Malaysia.

"Ia memerlukan galakan yang tinggi bagi gadis-gadis ini untuk bersuara dan mesti ada sokongan timbal balik daripada pihak berkuasa untuk memperbaikinya dengan sekurang-kurangnya mengeluarkan surat pekeliling untuk memastikan amalan tersebut segera dihentikan," kata Yeoh kepada Malaysiakini.

Dia menambah bahawa kuasa eksekutif perlu digunakan supaya arahan sedemikian dapat memberi kebaikan.

Sementara itu Teo pula menyuarakan betapa perlunya jawatankuasa bebas dan profesional dalam siasatan KPM mengenai isu tersebut.

"Kita memerlukan pasukan bebas dan profesional untuk menjalankan siasatan. Pasukan ini mesti terdiri daripada NGO, anggota Parlimen dan bukan kakitangan KPM.

"Dalam masa sama, KPM harus mengeluarkan arahan agar melarang tindakan berkenaan sebagai peringatan bahawa kita semua harus menghormati privasi pelajar. Tingkatkan kepercayaan dan rasa hormat bersama," katanya kepada Malaysiakini.

Pada Jun lalu, bekas menteri pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengatakan bahawa kementerian berada pada tahap akhir untuk membentuk sebuah jawatankuasa bebas untuk meneliti prosedur yang ada yang menangani aduan mengenai amalan pemeriksaan mengejut di sekolah, serta hal-hal lain yang berkaitan.

Perincian utama mengenai jawatankuasa siasatan masih belum didedahkan kepada umum.

Siasatan awal kementerian - yang dilakukan sebagai tindak balas terhadap kemarahan masyarakat yang melaporkan aduan - dikatakan tidak menunjukkan sebarang petunjuk bahawa amalan dan insiden ganguan lain telah terjadi.

Kejadian ini - yang mana bermula sejak 20 tahun lalu - didakwa termasuk menunjukkan tuala wanita yang dibasahi darah, melakukan pembersihan bahagian kemaluan dengan putik kapas, tisu, atau jari, atau meminta guru, warden atau pengawas sekolah meraba murid di celah paha untuk memeriksa sekiranya mereka memakai tuala wanita atau tidak.

Sebagai tindak balas terhadap aduan isu tersebut, Malaysiakini menyerahkan senarai kepada bekas menteri pendidikan dengan menamakan 15 buah sekolah yang mana pelajar perempuan disyaki melalui pemeriksaan mengejut untuk membuktikan bahawa mereka sedang mengalami kedatangan haid.

Salinan senarai itu juga dikirimkan kepada timbalan Radzi, Muslimin Yahaya dan Dr Mah Hang Soon, serta ketua setiausaha kementerian dan Jabatan Komunikasi Korporat.

Senarai dihantar berserta dengan maklumat lain, seperti tarikh kesalahan yang dituduh (kebanyakannya dari tahun 2011 hingga 2018) dan warden atau guru yang dinamakan oleh pelajar terbabit.

Bagaimanapun nama-nama mangsa tidak didedahkan pada senarai itu.