Tutup PPV keputusan pramatang, biar daerah tentukan - MP Klang
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan masih terlalu awal untuk kerajaan menutup 29 pusat pemberian vaksin (PPV) di sembilan daerah di Selangor.
Charles mendesak agar setiap daerah diberi kebenaran membuat keputusan tersebut berdasarkan keperluan semasa.
Bercakap pada sidang media dalam talian hari ini, Charles menggesa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menghentikan penutupan PPV kerana masih ramai perlu menerima vaksin.
“Saya mendesak Mosti untuk memikirkan kembali dan membatalkan arahan untuk menutup PPV.
"Dan serahkan kepada daerah-daerah untuk buat keputusan dan bukannya membuat keputusan secara menyeluruh tanpa mempertimbangkan situasi, dinamika lokal dan masalah di daerah masing-masing di Selangor," katanya.
Di Klang sahaja, kata Charles, sekitar 35 peratus (453.318) dari 1.3 juta belum menerima vaksin Covid-19.
Ini, katanya bertentangan dengan dasar Mosti untuk menutup PPV dengan "90 peratus" rakyat di negeri itu perlu divaksinasi.
"Anda (Mosti) mendakwa misi itu sudah selesai.
"Tetapi sebenarnya, anda belum beri kami sebab untuk mempercayai angka yang anda sampaikan kerana 35 peratus di Klang belum diberi vaksin," kata ahli parlimen DAP itu.
Pada 19 Ogos, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengarahkan kerajaan Selangor dan pihak berkepentingan lain untuk menutup sejumlah PPV pada bulan ini dan seterusnya.
Ia menjelaskan langkah itu adalah untuk "mengoptimumkan sumber sesuai dengan tahap pencapaian vaksinasi di Selangor yang telah melebihi 90 peratus dan diharapkan akan selesai dalam waktu terdekat".
Charles mempertikaikan dan mendesak kementerian berkongsi data dengan apa yang berlaku di lapangan.
Ahli Parlimen pembangkang itu juga turut berkongsi data bahawa jangkitan Covid-19 di kawasannya meningkat setiap bulan.
"Jangkitan semakin meningkat. Ini bermakna dakwaan (Mosti) bahawa 90 peratus individu di Selangor telah diberi vaksin sepenuhnya dan kita mencapai imuniti kelompok, itu tidak benar," tegasnya.
Malaysiakini telah menghubungi Mosti dan CITF untuk mendapatkan komen.
Risiko jangkitan di PPV mega
Turut hadir pada sidang media itu ialah Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Ahli parlimen PKR itu menyokong pandangan rakannya dari Pakatan Harapan (PH) itu agar Mosti dan CITF mengkaji semula penutupan PPV.
"Saya desak CITF untuk mengkaji semula keputusannya dan seperti yang dikatakan oleh Charles, kajian yang lebih terperinci diperlukan sebelum keputusan ini dibuat.
"Mereka perlu membandingkan (data) yang mereka lihat ddalammesyuarat dengan realiti di lapangan. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, banyak yang mengadu bahawa mereka belum mendapat janji temu vaksinasi, ”katanya.
Azmizam berpendapat PPV bersaiz kecil terletak di kawasan strategik dan mudah diakses adalah sesuai.
Dengan menutup kemudahan-kemudahan ini dan mengarahkan orang ke PPV yang lebih besar, dia bimbang kemungkinan berlakunya jangkitan baru.
"Sekiranya hanya satu PPV dibuka, kami khuatir orang yang berkumpul hanya di satu tempat akan mendapat jangkitann.
"Keputusan ini mungkin dapat mengakibatkan peningkatan kes baru. Kerana (janji temu) tertumpu di satu tempat dan orang akan berkumpul di PPV ini, ”katanya lagi.
Turut hadir Pengerusi Gabungan Persatuan-persatuan Cina Klang, Tony Tang; Presiden Persatuan Usahawan Little India Klang, Charles Manikam; Setiausaha Primas, N Shamugam; wakil Dewan Perniagaan Cina Klang, Kelvin Ng,Presiden Persatuan Hokkien Klang, Soo Hak Min dan ahli Persatuan Kanser Nasional Malaysia Dr M Muralithan .
Penyelaras PPV Persatuan Hokkien Klang, Profesor Selvam juga hadir dalam sidang media tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai