Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Himpunan batal, sekatan jalan raya sebabkan kesesakan di KL

Langkah polis untuk mengadakan 88 sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan masuk ke Kuala Lumpur susulan himpunan #Lawan - yang sudah pun dibatalkan - menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Ia ditambah dengan penutupan sementara 34 stesen kereta api di Kuala Lumpur oleh RapidKL dari jam 9 pagi hingga 3 petang ini untuk "melindungi keselamatan awam".

Aplikasi GPS Waze menunjukkan beberapa jalan menuju Dataran Merdeka - lokasi himpunan tersebut jika ia diteruskan - menyaksikan kekesakan.

Beberapa pengguna jalan raya juga membangkitkan perkara itu di Twitter.

Ada yang mengadu mereka terperangkap dalam kesesakan selama lebih sejam, dan ada juga yang memberitahu mereka terlewat untuk temu janji vaksin Covid-19.

Seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuala Lumpur memberitahu, beberapa individu yang dihubunginya memaklumkan mereka terlambat akibat kesesakan.

"Semua penerima vaksin yang saya hubungi hari ini untuk sahkan kehadiran kata 'miss, KL semua jam giler', 'miss I sangkut kat block', 'miss banyak jalan yang tutup," katanya di Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter berkata dia telah berlegar sekitar Kuala Lumpur selama dua jam tetapi masih belum sampai ke PPV.

"(Untuk ke PPV) KLCC nak lalu mana ya? Saya sudah dua jam berpusing-pusing dalam Kuala Lumpur," kata @hamidizuhdi.

"Tiga jam aku pusing nak sampai rumah. rumah pula tengah-tengah Kuala Lumpur, sebelah Dataran Merdeka," kata @luqqmandowski.

Penganjur #Lawan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) sebelum ini memaklumkan protes itu dibatalkan berikutan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Himpunan pertama yang dianjurkan pada 31 Julai sebelum ini disertai kira-kira 400 orang, menurut anggaran polis.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob baru mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan di Istana Negara ini.

Terdahulu, SSR juga mengkritik tindakan polis sebagai "berlebihan dan melampau" memandangkan himpunan telah dibatalkan.

Menurut SSR, polis e rumah aktivis tanpa notis dan dengan jumlah anggota yang ramai untuk menyerahkan perintah mahkamah semalam, walaupun telah diberitahu tentang pembatalannya.