Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meski himpunan #Lawan dibatalkan, polis tutup 88 jalan di KL

Polis akan menutup dan mengalihkan lalu lintas di 88 jalan di Kuala Lumpur mulai jam 9 pagi esok.

Penutupan itu dilakukan pada hari tunjuk perasaan #KeluarLawan kedua yang kini sudah dibatalkan, sepatutnya diadakan.

Antara lokasi yang terjejas termasuk semua jalan di sekitar Masjid Jamek dan Dataran Merdeka di mana tunjuk perasaan #Lawan pertama diadakan pada 31 Julai, menurut kenyataan media oleh Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh.

Polis juga telah mendapat perintah mahkamah terhadap 34 individu untuk menghalang mereka menyertai di perhimpunan #Lawan kedua yang pada mulanya dijadual diadakan di Kuala Lumpur esok.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya mendapat perintah itu dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, walaupun ada pengesahan sebelumnya dari Sekretariat Solidariti Rakyat mengenai pembatalan perhimpunan kedua itu.

Menurut perintah itu, mahkamah mendapati bahawa semua 34 individu yang dinamakan akan berkumpul di Dataran Merdeka mulai jam 11.30 pagi esok untuk tunjuk perasaan #KeluarLawan, walaupun tiada kelulusan daripada pihak polis.

"Dan bahawasanya telah didapati oleh mahkamah bahawa adalah perlu bagi suatu tindakan segera diambil bagi mengelakkan suatu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia atau rusuhan atau gaduh gempar jika perhimpunan ini diadakan.

"Dan bahawasanya ia telah didapati oleh mahkamah ini bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan perhimpunan tersebut akan diadakan pada 21 Ogos 2021," kata notis tersebut yang dikongsi di laman Facebook rasmi polis KL.

Sebelum ini, RapidKL mengumumkan bahawa ia akan menutup sementara 34 stesen kereta api di Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 3 petang esok untuk "melindungi keselamatan awam".

Perintah mahkamah penuh mengandungi senarai semua 34 individu berkenaan, lengkap dengan nombor kad pengenalan mereka yang tidak dikaburkan, sehingga menimbulkan kritikan terhadap kemungkinan pelanggaran isu maklumat peribadi.

Kesemua 34 mereka sebelum ini disoal siasat berkaitan dengan perhimpunan #Lawan pertama pada 31 Julai, atau konvoi bendera hitam sebelumnya yang kedua-duanya menggesa pengunduran Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Antara yang dinamakan termasuk peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mengatakan polis tersilap dalam mengenal pasti peranannya berkaitan tunjuk perasaan itu di mana dia ditugaskan untuk memberikan bantuan undang-undang.

Dia mengatakan polis juga bertindak sewenangnya dengan mendedahkan maklumat peribadinya di laman Facebook, sedangkan perintah mahkamah itu dapat diserahkan secara langsung.

"Saya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan segera terhadap polis berdasarkan alasan di atas," kata Asheeq dalam satu kenyataan.

Ketika dihubungi, beberapa penerima lain termasuk setiausaha agung Muda Amir Abdul Hadi, penyelaras Suaram Muhammad Abdullah Al-Shatry dan aktivis Nashita Md Noor juga mengesahkan bahawa mereka hanya diberitahu mengenai notis itu di Facebook.

Peguam Rajsurian Pillai kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa polis telah memberikan perintah mahkamah kepada setiap individu.

"Polis pergi rumah ke rumah, saya dapat mengesahkannya," katanya.

Ketika dihubungi, aktivis hak digital Jac SM Kee mengatakan pendedahan itu boleh menyebabkan individu tertentu menyalahgunakan data peribadi mereka.

"Polis seharusnya membela orang awam daripada bahaya, dan tidak mendedahkan mereka kepada lebih banyak bahaya.

"Risiko penyalahgunaan data pengenalan diri sudah sering terjadi," kata Kee kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa perkongsian maklumat peribadi tersebut adalah salah di kebanyakan negara termasuk Singapura.

Di Malaysia, memiliki akses ke nombor kad pengenalan seseorang dapat mendedahkan maklumat lebih lanjut mengenai latar belakang mereka melalui pelbagai agensi kerajaan.

Semakan Malaysiakini mendapati bahawa hantaran Facebook tersebut tidak lagi dapat diakses, walaupun tidak jelas apakah ia disebabkan oleh laporan yang dibuat ke Facebook kerana pelanggaran maklumat peribadi.