Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tugas getir menanti Ismail Sabri

Perdana Menteri baru Malaysia, Ismail Sabri Yaakob, perlu menggunakan pengalamannya selama lebih satu dekad untuk cuba menggemudi pemerintahan negara yang dilanda pergolakan politik, penularan jangkitan Covid-19 dan kelesuan ekonomi.

Pemimpin berusia 61 tahun itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, hari ini bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya pada 16 Ogos setelah kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen.

Ismail Sabri mendapat sokongan 114 anggota parlimen dari 220 ahli parlimen (tidak termasuk dua kerusi kosong). Ia merupakan majoriti tipis.

Bagaimanapun sokongannya adalah dari pakatan sama menaikkan Muhyiddin, yang dilanda pertikaian dalaman, meningkatkan prospek gabungan itu tidak stabil, kata para penganalisis.

Dalam pengumuman hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah menyatakan harapan supaya semua ahli Dewan Rakyat "dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19, demi kepentingan rakyat dan negara.”

Pelantikan Ismail Sabri adalah satu kemenangan kepada Umno yang merampas semula jawatan perdana menteri setelah sebelum ini memerintah lebih 60 tahun tetapi digulingkan pada pilihan raya 2018, antara lain kerana beberapa pemimpinnya dikaitkan tuduhan rasuah.

Sebagai pemimpin kanan Umno, Ismail Sabri sebelum ini adalah timbalan Muhyiddin, sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan pertahanan dan keselamatan, dan antara individu penting bagi membanteras wabak Covid-19 di Malaysia yang telah membunuh 13,480 nyawa dan menjangkiti lebih 1.5 juta penduduk negara ini.

Dia antara lain pernah mengundang kemarahan masyarakat yang semakin meningkat berhubung caranya mengatasi wabak itu ketika jangkitan merebak dengan cepat walaupun banyak penutupan dan sekatan yang telah dibuat.

Kumpulan hak asasi juga membidas agensi-agensi keselamatan yang di bawah seliaan Ismail Sabri, ketika mereka memenjarakan dan mengusir ribuan migran dan pelarian tanpa dokumen dalam usaha yang digambarkan sebagai bertujuan untuk menghentikan penyebaran virus itu.

Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri bulan lalu dalam usaha Muhyiddin untuk menenangkan Umno, yang tidak senang dengan hanya memainkan peranan sebagai penyokong dalam pentadbiran gabungannya.

Muhyiddin membentuk pakatan parti-parti lain yang kalah pada pilihan raya 2018 dengan Umno setelah pakatan pemerintahan perdana menteri Mahathir Mohamad tumbang kerana pertikaman dalaman tahun lalu.

Tetapi Umno menarik sokongannya terhadap Muhyiddin bulan lalu, dengan alasan perdana menteri gagal menguruskan wabak tersebut. Namun, Ismail Sabri menentang asakan partinya dan berdiri teguh bersama Muhyiddin, yang akhirnya mengundurkan diri pada Isnin lalu.

Ismail Sabri mungkin berdepan dengan gabungan yang tidak stabil memandangkan majoriti tipis dan perpecahannya dalam Umno, kata Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

"Masih ramai yang tidak menyukainya (dalam Umno) kerana mereka berpendapat bahawa dia mengkhianati parti itu dan bahawa dengan mengkhianati parti itu, dia memperoleh jawatan nombor satu," kata Oh.

Rakan kongsi parti sekutu juga boleh memberinya masalah.

Walaupun Muhyiddin memberi sokongan kepada Ismail Sabri, tetapi presiden Bersatu itu berkata sokongan bersyarat, iaitu antara lain perlu memastikan anggota kabinetnya bebas dari tuduhan rasuah.

Beberapa ahli politik Umno sedang menghadapi tuduhan rasuah, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang disabitkan tahun lalu kerana skandal berbilion dolar dalam dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kedua-dua mereka menafikan melakukan sebarang kesalahan. Mereka tetap masih berpengaruh dan merupakan antara anggota parlimen Umno yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Sebagai seorang peguam, Ismail Sabri menjadi anggota parlimen sejak 2004 dan menteri kabinet di bawah dua perdana menteri lain sebelum Muhyiddin. Dia pernah memegang portfolio pembangunan luar bandar dan wilayah, pertanian dan perdagangan dalam negeri.

Bapa kepada empat orang ini amat popular dengan rakyat Malaysia di peringkat akar umbi, terutamanya etnik Melayu, yang membentuk majoriti penduduk berbilang etnik yang merangkumi etnik Cina dan etnik India minoriti.

Tetapi dia pernah diserang pada masa lalu berhubung komen kontroversial mengenai kumpulan minoriti Malaysia.

Dalam catatan Facebook pada tahun 2015, Ismail Sabri menggesa orang Melayu memboikot atau memulau perniagaan yang dijalankan oleh etnik Cina, lapor media.

Dia kemudian memadamkan catatan itu dan menjelaskan bahawa komen tersebut ditujukan kepada ahli perniagaan Cina yang menolak untuk menurunkan harga barang, walaupun pada masa itu harga minyak telah turun.

Dia juga disoal siasat oleh polis mengenai posting tersebut.

Pada tahun 2018, Ismail Sabri sekali lagi mencetuskan kemarahan setelah menuduh parti pembangkang, DAP, yang anggotanya kebanyakannya etnik Cina, mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan keunikan Islam, lapor media.

(Laporan oleh A Ananthalakshmi dan Rozanna Latiff; Suntingan oleh Michael Perry dan Clarence Fernandez)

- Reuters