Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja selesai

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan perdana menteri baru selesai dengan Raja-Raja Melayu dilihat meninggalkan Istana Negara pada kira-kira jam 4.20 petang tadi.

Sebelum itu, Bernama melaporkan Raja-Raja Melayu berangkat tiba di Istana Negara hari ini bagi menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya isu pelantikan perdana menteri baharu.

Kenderaan rasmi dari Istana Pahang antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada jam 1.54 petang dengan membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, diikuti Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah pada jam 2.11 petang.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berangkat tiba pada jam 2.18 petang disusuli Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Perbincangan khas itu dijadual bermula 2.30 petang akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Negara menjadi tumpuan sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada Isnin lepas.

Ketua parti-parti politik dipanggil menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa sebelum Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan bersumpah (SD) untuk menamakan seorang calon perdana menteri kesembilan, selewat-lewatnya sebelum Rabu 4 petang.

Semalam, sesi menghadap Al-Sultan Abdullah berlangsung secara berperingkat membabitkan 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Ahli Parlimen Bebas.

Pada sesi menghadap itu, Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri Ahli Parlimen yang secara bergilir-gilir menyembah maklum secara lisan dan secara maya sokongan kepada calon perdana menteri masing-masing dan mengesahkan SD berkenaan.

Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya setakat semalam tidak menerima panggilan menghadap Seri Paduka.

- Bernama