Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sokongan bersyarat PN kepada Ismail Sabri bukan ‘luar biasa’

Adakah sokongan bersyarat Perikatan Nasional kepada Ismail Sabri Yaakub sebagai calon perdana menteri kesembilan negara sah?

Walaupun peguam Ambiga Sreenevasan berpendapat sokongan tersebut tidak seharusnya diambilkira, namun setiausaha sulit kepada perdana menteri sementara, Muhyiddin Yassin berpandangan sebaliknya.

Dalam satu catatan di Facebook, Marzuki Mohamad berkata tidak ada sebarang yang luar biasa berhubung dengan kenyataan PN baru-baru ini.

“Saya tak faham kenapa sesetengah pihak mengatakan sokongan PN kepada Ismail Sabri adalah tidak sah semata-mata kerana syaratnya ialah pertama menteri yang bakal dilantik mestilah bebas daripada pertuduhan jenayah.

“Kedua kerajaan PN mesti terus hormat prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja berperlembagaan," katanya.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN dan 50 anggota parlimennya menyokong Ismail Sabri dengan syarat menteri kabinet anib presiden Umno itu mesteilah terdiri daripada daripada “individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.”

Susulan kenyataan itu, beberapa penganalisis dan ahli parlimen mempersoalkan kestabilan pentadbiran Ismail Sabri jika dia dilantik sebagai perdana menteri.

Mengulas dakwaan itu, Marzuki menolak pandangan dan hujah bahawa syarat PN berkenaan adalah tidak sah.

“Antara sumpah jawatan PM ialah mesti berikrar untuk junjung perlembagaan. Pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti dijunjung oleh mana-mana PM yang dilantik.

“Sebelum jemaah menteri dilantik, proses vetting akan dibuat untuk memastikan bakal menteri tidak ada rekod jenayah, bebas rasuah, tidak ada rekod sangkut bayaran cukai LHDN dan bukan seorang yang bankrap. Ini selari dengan syarat PN.

“Ia bukan perkara luar biasa. Kalau tak buat itu luar biasa.,” katanya.

Sebagai contoh, Marzuki berkata Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai perdana menteri ketujuh dengan syarat Dr Wan Azizah Ismail akan dilantik sebagai timbalannya.

Syarat seterusnya, katanya, Dr Mahathir kemudian harus menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

“Saya cari dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perkataan ‘unconditional confidence of the majority’ atau kepercayaan majoriti tanpa syarat.

“Saya tak jumpa perkataan ‘unconditional’. Yang saya jumpa hanyalah perkataan ‘confidence of the majority’ atau kepercayaan majoriti.

“Jadi, janganlah kita suka-suka tambah perkara yang tiada dalam Perlembagaan,” katanya.

[Baca berita penuh]