Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak sindrom Down
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down baru-baru ini.
Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak berusia 13 tahun itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Feb dan Jun tahun ini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.
“Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak.
"Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya, sindrom Down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama Rosidah Abu Bakar.
Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Dia juga berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.
“Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai