Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 PPN boleh makan di restoran

Individu yang sudah melengkapkan vaksinasi yang tinggal di negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara kini dapat makan di restoran.

Peraturan lain yang dilonggarkan untuk individu lengkap vaksinasi adalah lebih banyak aktiviti rekreasi dan sukan dibenarkan termasuk memancing, mendaki, berkhemah, berbasikal, golf, dan badminton atau tenis perseorangan.

Perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran baru itu setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini.

Negeri berada di bawah Fasa 1 PPN adalah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Seseorang itu dianggap lengkap vaksinasi dua minggu setelah menerima dos kedua vaksin Covid-19, atau 28 hari setelah menerima vaksin jenis dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Untuk makan di premis restoran, pelanggan mesti menunjukkan sijil vaksin digital MySejahtera mereka.

Keluarga, yang mana kedua ibu dan bapa sudah lengkap vaksinasi dibenarkan membawa anak-anak mereka yang berusia di bawah 17 tahun untuk makan bersama.

Perkara sama juga bagi aktiviti rekreasi.

Muhyiddin dalam kenyataannya menyarankan pengusaha kedai makan untuk menyediakan lebih banyak meja di luar premis untuk pengudaraan yang lebih baik.

Restoran dan kafe di rumah kelab juga dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, perdana menteri sementara juga mengumumkan bahawa pasar malam sekarang dapat beroperasi untuk pelanggan yang sudah diberi vaksin sepenuhnya.