Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shahrir: Bergantung pada Ismail buktikan dia lebih baik dari PH, PN

Tokoh veteran Umno Shahrir Abdul Samad berkata, kini bergantung kepada Ismail Sabri Yaakob untuk membuktikan dia boleh menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik berbanding pentabdiran PH dan Perikatan Nasional (PN).

Ismail pada masa ini berada di depan dalam persaingan menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Terserahlah kepada ahli parlimen Umno dibawah kepimpinan Ismail Sabri untuk membuktikan kerajaan barunya lebih berkesan daripada kedua-dua kerajaan sebelum ini," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Shahrir yang merupakan bekas menteri turut mengucapkan tahniah kepada Umno kerana secara bersama menyokong Ismail Sabri.

Muhyiddin hilang majoriti setelah 15 ahli parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan mereka.

Bagaimanapun, 14 daripada 15 ahli parlimen itu kembali memberi sokongan selepas Ismail Sabri dipersetujui untuk menggantikan Muhyiddin.

Komposisi sokongan terhadap Ismail kini serupa dengan sokongan terhadap Muhyiddin - kecuali Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Asyraf Wajdi Dusuki

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu akan terus menyuarakan 10 tuntutan tanpa mengira siapa yang menjadi perdana menteri.

Menurut Asyraf, antara tuntutan tersebut adalah mempercepat bantuan tunai Covid-19 dan meningkatkan belanjawan bagi membantu orang ramai yang berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Dia juga menggesa kebenaran untuk pengeluaran i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekaligus dan bukan secara bulanan.

Pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP juga perlu dibenarkan, katanya lagi.

Dia juga menggesa moratorium pinjaman turut diberikan kepada penjawat awam yang membuat pinjaman kerajaan.

"Sepuluh tuntutan rakyat akan terus kami suarakan dan perjuangkan tanpa mengira siapa pun yang nak dan bakal dilantik Yang di-Pertuan Agong menjadi perdana menteri.

"Itu janji dan iltizam Pemuda Umno," katanya di Facebook.

Dipercayai Ismail kini mendapat sokongan 114 ahli parlimen dengan Anwar disokong 105 ahli parlimen.

Sokongan seramai 11 ahli parlimen diperlukan untuk majoriti mudah. Kini, terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.