Pembangkang tak terima jemputan ke Istana Negara
Pembangkang tidak mendapat jemputan ke Istana Negara hari ini, susulan tamatnya proses undian di mana semua MP diminta menyatakan calon perdana menteri pilihan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, parti-parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Ismail Sabri Yaakob mendedahkan mereka diundang ke Istana Negara.
Ia selepas naib presiden Umno itu dilihat mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli parlimen, berbanding Ketua Pembangkang yang disokong 105 ahli parlimen.
Satu-satunya ahli parlimen yang dipercayai tidak menyokong mana-mana calon adalah Tengku Razaleigh Hamzah.
Difahamkan Agong telah memanggil pihak "menang" ke Istana Negara hari ini untuk mengesahkan sokongan ahli parlimen kepada Ismail Sabri.
Agong dijangkan mengadakan siri pertemuan dengan 114 ahli parlimen yang menyokong Ismail, dengan pertemuan dibuat mengikut parti.
Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming mengesahkan pembangkang tidak menyertai proses itu.
"Jika ada yang tertanya-tanya, tidak, saya dan rakan-rakan (dalam pembangkang) tidak mendapat sebarang jemputan untuk ke istana hari ini," katanya di Twitter.
Beberapa ahli parlimen PKR yang bercakap dengan Malaysiakini juga mengesahkan mereka tidak menerima jemputan.
Ong antara segelintir ahli parlimen pembangkang yang cenderung ke arah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Muhyiddin Yassin - kini perdana menteri sementara - sebagai pertukaran dengan pembaharuan yang ditawarkannya.
Mereka membangkitkan kebimbangan yang pemimpin Umno yang kini berdepan pendakwaan rasuah mengambil kesempatan terhadap kedudukan Muhyiddin yang lemah.
Bagaimanapun, tawaran Muhyiddin itu segera ditolak kepimpinan parti pembangkang.
Muhyiddin hilang majoriti selepas 15 ahli parlimen Umno yang diketuai presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan mereka.
Dalam perutusan terakhirnya, Muhyiddin berkata dia enggan "bersekongkol dengan kleptokrat".
Bagaimanapun, 14 daripada 15 ahli parlimen Umno dipercayai telah kembali menyokong Perikatan Nasional selepas dipersetujui yang Umno akan mengetuai pentadbiran negara.
Ini bermakna komposisi sokongan terhadap Ismail Sabri adalah sama dengan sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai