Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

19,631 kes baru, 293 kematian, penurunan di Lembah Klang

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 19,631 kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat tengah hari ini.

Terdapat penurunan jangkitan di Lembah Klang, dengan kes baru kurang daripada 8,000 untuk hari ini dan semalam.

Bagaimanapun ada enam negeri lain yang melaporkan kes baru melebihi 1,000.

  • Pesakit sembuh: 16,468
  • Kes baru: 19,631
  • Kes aktif : 252,147
  • Pesakit perlu rawatan di ICU: 1,054
  • Pesakit perlu bantuan pernafasan: 525
  • Pesakit meninggal dunia: 293

Berdasarkan purata kes baru untuk tujuh hari, jumlah jangkitan dalam trend menurun untuk hari kelapan di Lembah Klang.

Kes aktif pula melepasi suku juta kes hari ini dan jumlah korban melepasi 13,000 mangsa.

Setakat tengah hari ini, sebanyak 149,750 sampel ujian telah dikumpul. Kadar positif tidak rasmi adalah 13.11 peratus - kadar ini melebihi 10 peratus selama 28 hari berturut-turut.

 Kadar R-naught di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan - yang turut mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi - berada di bawah 1.00 setakat semalam. Kadar di bawah 1.00 menandakan penularan wabak kian berkurang.

Kadar R-naught tertinggi adalah di Perlis (1.25), Sarawak (1.23) dan Kelantan (1.19).

Kadar yang tinggi di Sarawak di sebalik data rasmi kerajaan yang menunjukkan seramai 79 peratus populasi telah divaksin.

Bagaimanapun, menurut data KKM setakat 14 Ogos lalu, penggunaan katil untuk kes tidak kritikal di Sarawak hanya 39.04 peratus, berbanding kapasiti hampir penuh di kawasan lain.

Kadar penggunaan katil ICU pula secara relatif lebih rendah - iaitu 55 peratus - berbanding kawasan lain.

Kematian

Terdapat 293 kematian yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban Covid-19 di Malaysia seramai 13,077 orang.

Seramai 44 mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Kes kematian baru tertinggi dilaporkan di Selangor dengan 90 kes, disusuli Kuala Lumpur (47), Johor (42), Pahang (21), Melaka (19), Perak (19), Sabah (15), Negeri Sembilan (9), Kedah (9), Pulau Pinang (8), Kelantan (7), Terengganu (5) dan Sarawak (2).

Kluster

Sebanyak 39 kluster baru dikenal pasti hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 1,360 kluster.

Daripada jumlah itu, sebanyak 23 kluste dalam kategori tempat kerja, 13 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.