Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muhyiddin letak jawatan buka ruang perubahan negara - Anwar

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri hari ini.

Pada masa sama, dia menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa negara "kembali bangkit" dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

"Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan hari ini disambut baik serta akan membuka ruang ke arah perubahan buat negara.

"Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara," katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Agong juga bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Dalam pada itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa ahli parlimen yang menang dengan tiket PH pada PRU lalu untuk kembali bersama gabungan itu agar mandat rakyat dapat kembali dilaksanakan.

"Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini.

"Dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih.

Apabila mandat rakyat dalam PRU lalu dikembalikan dan institusi parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan kembali membina semula ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

Pada Februari tahun lalu, Bersatu bertindak keluar daripada PH untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama BN, PAS, GPS, Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Bagaimanapun enam ahli parlimen parti itu tidak menyertai gabungan itu.

Selain itu, PN juga merangkumi sejumlah ahli parlimen PKR yang sama ada keluar daripada parti itu atau dipecat.

Lim Guan Eng

Di pihak DAP pula, setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata Muhyiddin mengambil langkah yang betul berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin ada berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga serangkai iaitu wabak Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

"Perdana menteri yang baru menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik untuk menangani krisis ini, terutama demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian yang terjejas teruk," katanya dalam kenyataan.

Selain mempercepat program vaksinasi, Lim berkata satu pelan 'reset' diperlukan bagi peralihan perangkaan dasar daripada pembendungan wabak kepada mitigasi, dalam persediaan ke arah keperluan untuk "hidup bersama" virus tersebut.