Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Kelantan buru 'Iwe Telosan' bantu siasatan kes bunuh

Polis Kelantan sedang mengesan seorang individu bagi membantu siasatan membabitkan kes bunuh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh, pada 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, suspek yang dikehendaki itu bernama Tuan Mohd Ridzwan Tuan Mohamad atau juga dikenali sebagai Iwe Telosan dan berusia 32 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut mangsa didapati meninggal dunia dalam keadaan terbaring di hadapan rumah dengan kesan cedera di bahagian dahi.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera disebabkan kesan hentakan di bahagian kepala. Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, pihak polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat individu berumur antara 34 hingga 44 tahun, yang mana mengakui berada di tempat kejadian bersama seorang lagi individu yang masih bebas (Iwe Telosan)," katanya dalam kenyataan kepada media, di Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata, keempat-empat suspek berkenaan direman sehingga 17 Ogos.

"Justeru itu, Polis Kelantan sedang mengesan dan memburu seorang individu lagi individu terlibat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya lagi.