Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Percaturan raih majoriti sengit di tengah spekulasi Muhyiddin akan berundur

Peraturan politik di Malaysia dilihat seakan-akan menuju satu kemuncak apabila spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan mengundurkan diri sebagai perdana menteri.

Walaupun belum ada pengesahan mengenai hal ini, Muhyiddin dijadualkan menemui Yang di Pertuan Agong pada hari Isnin.

Pertemuan antara semua parti pembangkang, termasuk Warisan, Pejuang, Upko dan PSB, dijangka diadakan esok.

Pertemuan itu akan menjadi jalan bagi Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyatukan sokongan untuk menjadi calon perdana menteri.

Pada masa ini, gabungan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar mempunyai 88 ahli parlimen.

Namun, dia perlu meyakinkan kumpulan pembangkang lain terutama Warisan dan Pejuang untuk menerimanya sebagai calon perdana menteri. Kedua-duanya mempunyai rekod menolak Anwar sebagai calon perdana menteri sebelum ini.

Pada masa sama, meskipun Anwar berjaya menyatukan parti pembangkang yang lain, dia hanya akan mempunyai 105 ahli parlimen, iaitu kurang enam untuk mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Oleh itu, Anwar perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya enam daripada 15 ahli parlimen Umno yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin atau mendapatkan sokongan daripada sekutu Muhyiddin dalam Perikatan Nasional seperti GPS.

Untuk Anwar mendapat sokongan daripada Umno kemungkinan akan sukar kerana Majlis Tertinggi dan perhimpunan agung parti itu tegas bahawa mereka tidak akan menyokong Anwar atau kerajaan yang melibatkan DAP.

Anwar yang juga ketua pembangkang, bagaimanapun, bukan satu-satunya pencabar jawatan perdana menteri sekiranya Muhyiddin mengundurkan diri.

Sumber-sumber Umno yang rapat dengan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi telah memberitahu Malaysiakini bahawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga merupakan antara nama yang dibangkitkan sebagai calon berpotensi.

Tengku Razaleigh atau Ku Li dilihat boleh menjadi jalan 'kompromi' antara puak-puak Umno yang bertelagah, dan kemungkinan dapat disokong oleh PAS dan pihak lain dalam Perikatan Nasional yang enggan menerima Anwar dan sekutunya DAP.

Seorang ahli parlimen Umno berada dalam kem Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob menyorot bahawa jika diberi pilihan antara Ku Li atau Anwar, maka ahli parlimen Gua Musang itu akan menjadi pilihannya.

Bagaimanapun, ahli parlimen yang enggan namanya disebut dalam laporan itu percaya Ismail akan menjadi pilihan yang lebih baik.

Ahli Parlimen Bera itu, yang kini menjadi timbalan perdana menteri, mungkin juga dapat diterima oleh Bersatu, tetapi dia mungkin menghadapi tentangan dari kem Zahid.

Ini setelah Ismail berpihak kepada Muhyiddin untuk menentang keputusan partinya menarik sokongan kepada presiden Bersatu itu.

 

Ismail perlu mendapatkan 11 daripada 15 ahli parlimen yang menyokong Zahid untuk mendapatkan majoriti.

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, yang tidak mahu disebutkan namanya, mengatakan bahawa Muhyiddin juga dapat mengekalkan kerajaan jika dia bertemu dengan Zahid.

"Jika dia (Muhyiddin) hebat, dia dapat bertemu dengan Zahid dan meminta agar gabungan itu tetap bersama dengan menyerahkannya kepada Umno dan merombak kabinet," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Muhyiddin kini kekurangan 11 ahli parlimen untuk mendapat majoriti.

Semalam, Muhyiddin memberi tawaran kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan dalam usul undi percaya dengan menjanjikan reformasi, termasuk had penggal perdana menteri, sebagai pertukaran untuk mengekalkan kerajaan hingga Jun tahun depan.

Meskipun segelintir ahli parlimen Pakatan Harapan mengatakan bahawa tawaran Muhyiddin itu harus dipertimbangkan, kepemimpinan tertinggi gabungan berkenaan dan juga parti pembangkang lain semuanya menolak tawaran Muhyiddin.

Situasi dijangka akan terus berubah-ubah hingga Isnin ini. Sesiapa yang mahu menjadi perdana menteri akan memerlukan 111 anggota Parlimen untuk meraih majoriti.

Laporan oleh Hariz Mohd, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, dan Zikri Kamarulzaman