Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam: Muhyiddin tak boleh kekal PM tanpa majoriti

Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pilihan untuk terus memegang jawatan perdana menteri setelah mengakui hilang sokongan majoriti, kata peguam Haniff Khatri Abdulla .

Katanya, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan dua pilihan untuk seseorang perdana menteri yang tidak mendapat sokongan majoriti - iaitu mengadakan pilihan raya atau meletakkan jawatan bersama seluruh anggota kabinet.

Haniff berkata, Muhyiddin tidak boleh kekal memegang jawatan dengan alasan tidak ada ahli parlimen lain yang dapat membuktikan memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri baru.

"Itu adalah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Perdana menteri hanya perlu memutuskan apakah akan minta parlimen dibubar, dan jika permintaan itu ditolak, mengundurkan diri," kata Haniff kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Terdahulu keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri dipersoalkan berikutan penarikan sokongan sebahagian ahli parlimen Umno terhadapnya dan kerajaan PN.

Muhyiddin hari ini berkata dia mempunyai dua pilihan sama ada memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum, atau meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Muhyiddin mendakwa tidak ada seorang pun anggota parlimen memperoleh majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri. Sehubungan dengan itu, dia menawarkan rundingan dengan parti-parti di luar PN bagi memastikan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat bulan depan diluluskan.

Mengulas lanjut, Haniff menegaskan Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak untuk menjalankan tugasnya dan memutuskan siapa perdana menteri sesuai menggantikan Muhyiddin.

"Itu sepenuhnya bergantung pada Agong. Kebijaksanaannya akan menentukan bagaimana prosesnya," tegas Haniff.

Begitu juga, peguam New Sin Yew mengatakan Perkara 43 (4) perlembagaan persekutuan tidak menyatakan sebarang syarat kepada perdana menteri untuk meletak jawatan.

"Perkara 43 (4) tidak memberikan syarat apa pun sebelum perdana menteri harus mengundurkan diri, kecuali hilangnya kepercayaan.

"Perkara yang wajar dilakukan adalah mengundurkan diri dan membiarkan proses pelantikan perdana menteri baru berlangsung," kata New kepada Malaysiakini.

New berkata, Muhyiddin keliru apabila menyatakan perlu ada ahli parlimen lain mendapat sokongan majoriti sebelum dia boleh mengundurkan diri.

"Artikel 43 (4) sangat jelas bahawa dia harus meletakkan jawatan setelah hilang  kepercayaan majoriti tanpa syarat lain," tambah New.

Sementara itu ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Tricia Yeoh berkata, Muhyiddin mengakui hilang majoriti apabila meminta usul percaya dilakukan.

"(Dia kata) sokong saya dan ini perkara-perkara yang akan kamu dapat. Banyak pembaharuan yang diminta oleh masyarakat sivil.

"Gula-gula disajikan untuk dapat sokongan. Satu pengakuan yang dia tidak memiliki majoriti," kata Yeoh.

Dia juga mempersoalkan kenyataan Muhyiddin bahawa tidak ada seorang pun anggota parlimen yang memiliki sokongan majoriti.

"Satu-satunya cara yang pasti adalah jika kamu bersidang di parlimen dan mengundi calon yang layak.

"Ini secara asasnya sama dengan memilih ketua kelas," katanya.

Undian bagi menguji kepercayaan Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin dijadual berlangsung pada 7 Sept depan.