Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amanah kemuka usul agar Azhar lepaskan jawatan speaker

Parti Amanah hari ini menghantar usul bagi meminta Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, mengosongkan jawatannya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata usul itu dikemukakan berdasarkan kepada tindakan Azhar semasa mengendalikan sidang khas Dewan Rakyat antara 26 hingga 29 Julai lalu.

"Kami telah menghantar usul pada hari ini di bawah Peraturan Mesyuarat 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan @ Harun mengosongkan jawatannya," katanya.

Ahli parlimen Kota Raja itu menjelaskan usul tersebut dibuat atas alasan:

  • Tindakan Azhar sepanjang sidang khas lalu adalah bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.
  • Tindakan Azhar juga dianggap membelakangkan dan menafikan fungsi raja berperlembagaan dalam konteks prinsip asas sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan

Untuk rekod Azhar merupakan seorang peguam kanan yang selalu tampil dengan pelbagai kritikan terhadap kerajaan semasa era BN memerintah.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada 2018, Azhar dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagaimanapun susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan PH ditumbangkan tanpa melalui pilihan raya, kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan selepas itu mencalonkan Azhar menjadi speaker Dewan Rakyat.

Azhar dilantik menggantikan bekas hakim kanan di Mahkamah Rayuan, Mohamad Arif Md Yusof, dalam proses yang kontroversi.

Pembangkang sebelum in juga membantah sidang khas parlimen yang dianggap diadakan secara tidak serius, malah ditamatkan lebih awal atas alasan wujudnya ancaman Covid-19.

Persidangan itu juga diadakan selepas kerajaan menerima beberapa teguran daripada Istana Negara yang mahukan Parlimen segera bersidang.

Mohamad berkata Amanah mengemukakan cadangan untuk mencalonkan kembali Mohamad Arif sebagai speaker menggantikan Azhar.

"Kami juga mencadangkan pencalonan Mohamad Ariff Md Yusof dilantik semula menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya.