Rayu sokong Anwar bukti PH tiada calon PM - Zuraida
Seruan Pakatan Harapan (PH) agar semua ahli parlimen menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menyokong Anwar Ibrahim sebagai penggantinya mengesahkan pembangkang tidak memiliki calon perdana menteri alternatif.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan seruan berkenaan sebagai langkah terdesak PH dan umpama "menjaringkan gol sendiri".
"Kenyataan terbaru ini, yang secara terbuka merayu sokongan, mengesahkan bahawa pembangkang tiada calon PM alternatif dengan sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.
"Rayuan terbuka ini satu tindakan terdesak dan membuktikan PH pada masa ini memang tiada - malah tidak pernah ada - bilangan sokongan yang cukup.
"Walaupun PH tidak mampu membentuk kerajaan, mereka telah berulang kali dengan begitu gelojoh cuba menjatuhkan kerajaan sekarang," katanya dalam kenyataan.
Zuraida berkata, PH dan Anwar sentiasa cuba mengalihkan perhatian demi menutup hakikat yang sebenar sehingga menjejaskan kerajaan yang sedang bergelut menghadapi wabak Covid-19.
Bekas pemimpin PKR itu juga mengimbas semula tindakan Anwar menghadap Agong pada Oktober tahun lalu untuk mempersembahkan bukti sebagai perdana menteri.
"Tiada apa pun yang berlaku selepas itu.
"Dan siapa boleh lupa sepanjang sidang Parlimen pada 2 November 2020 hingga 17 Disember 2020, apabila PH gagal menggesa undi belah bahagi dilakukan ketika peringkat dasar Belanjawan 2021, dan kemudian terus gagal sebanyak 27 kali dalam undian peringkat jawatankuasa untuk kementerian.
"Sekarang, sekali lagi, PH yang diketuai Anwar cuba menyahstabilkan kerajaan yang sedang berusaha keras menangani wabak Covid-19.
"Ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh Anwar dan PH. Sikap tamak kuasa mereka telah mengancam negara dan akan terus mengancam kesihatan dan kebajikan rakyat.
'PH jaringkan gol sendiri'
Zuraida berkata PH hari ini mengesahkan mereka tidak dapat membentuk kerajaan, di sebalik serangan tanpa henti terhadap Muhyiddin.
"Dengan rayuan terdesak yang dibuat PH hari ini, mereka sebenarnya hanya menjaringkan gol sendiri.
"Mungkin saya telah menyatakan perkara ini, tetapi saya sekali lagi ingin menggesa semua pihak untuk memberi tumpuan kepada rakyat, di tengah-tengah krisis kesihatan yang pertama kali kita hadapi ini," tambahnya.
Keabsahan kedudukan perdana menteri kini dipertikaikan setelah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan sebahagian anggota parlimen yang menyokongnya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Zuraida adalah antara ahli parlimen dari PKR diketuai Azmin Ali yang bertindak keluar parti itu tahun lalu bagi menghalang peralihan kuasa kepada Anwar.
Krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton itu menyaksikan kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri dengan penubuhan kerajaan baru Perikatan Nasional.
Muhyiddin sebelum ini berkata dia bersedia berdepan usul percaya yang akan dibentang di parlimen pada bulan depan.
Sementara itu, Muhyiddin dalam perutusan khas petang ini berkata dia tidak akan meletakkan jawatan kerana tiada sesiapa dapat membuktikan mempunyai majoriti untuk menjadi perdana menteri baru.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai