Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP Klang minta tindakan segera atasi masalah di HTAR

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan mengambil tindakan segera ke atas Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Charles dalam surat bertarikh 11 Ogos kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba antara lain memohon tambahan doktor, jururawat dan pakar perubatan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Dia juga meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan peralatan tambahan dan menambah ambulans bagi menangani panggilan kecemasan yang tinggi.

Charles dalam suratnya berkata, meskipun terdapat penambahbaikan di hospital itu sejak lawatan mengejut mereka berdua dua minggu lalu, pihaknya masih menerima aduan yang memerlukan penambahbaikan di hospital berkenaan.

"Kadar menunggu bagi seorang pesakit bagi mendapatkan rawatan adalah antara 3 hingga 4 jam bagi setiap pesakit yang dirujuk. 

"Terdapat juga kes pesakit tumbang secara tiba-tiba dan panggilan memerlukan bantuan segera tidak dapat dipenuhi oleh pihak HTAR akibat kekurangan ambulas," kata Charles dalam surat yang turut dihantar kepada pengarah HTAR, Zulkarnain Mohd Rawi.

Charles berkata pihaknya juga menerima aduan mengenai kekurangan kekerapan kerja pembersihan tandas di hospital berkenaan sehingga menyukarkan pesakit.

"Dalam pada itu, masalah servis penyediaan makanan kepada pesakit di jabatan kecemasan juga masih belum diatasi sehingga kini," tambahnya.

Justeru Charles meminta penambabahbaikan jadual pembersihan tandas dan menambah tandas bergerak untuk kemudahan pesakit.

Selain itu dia juga menggesa pihak hospital menyediakan talian helpdesk 24 jam bagi ahli keluarga mengetahui status kesihatan ahli keluarga mereka.