Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selesai segera isu lantikan naib canselor UITM - Persatuan alumni

Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UITM) Malaysia (PAUITM) berharap hal berkaitan pelantikan Naib Canselor UITM dapat diselesaikan dengan segera kerana mengambil kira kepentingan universiti itu yang memerlukan kepimpinan.

Setiausahanya, Shukri Ishak berkata persatuan itu mengikuti perkembangan pelantikan Naib Canselor UITM yang kosong sejak Februari lalu dan pelantikan Prof Dr Roziah Janor untuk mengisi jawatan itu setelah melepasi proses pemilihan yang ketat oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UITM.

“Sehubungan itu, PAUITM yakin bahawa Jawatankuasa tersebut telah membuat penilaian terbaik berdasarkan merit dan kelayakan serta mengangkat syor calon-calon selayaknya untuk pertimbangan bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang seterusnya telah melantik Dr Roziah melalui surat bertarikh 2 Ogos 2021,” katanya.

Media melaporkan pelantikan Roziah (gambar, bawah) sebagai Naib Canselor UITM yang baru ditangguhkan melalui sepucuk surat yang bertarikh 7 Ogos lepas.

Beliau berkata pelantikan Roziah yang pada masa ini merupakan Timbalan Naib Canselor yang menjalankan fungsi Naib Canselor menjadikan beliau sebagai Naib Canselor wanita pertama UITM, sebuah institusi bumiputera terunggul sekali gus mendukung aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita di dalam pembuatan keputusan.

“PAUITM juga berkeyakinan tinggi bahawa Jawatankuasa dan Menteri Pengajian Tinggi telah melihat kriteria kelangsungan kepimpinan dan kecemerlangan UITM kerana Roziah masih berkhidmat dalam sistem UITM,’” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ini juga membolehkan UITM merancang dan melaksana strategi yang lebih berkesan dan gandingan Roziah dan Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah sebagai Pengerusi UITM pada ketika ini akan membawa universiti itu ke tahap yang lebih tinggi.

- Bernama