'Gurauan kasar' kontena jenazah: Ahli pemuda DAP buat laporan polis pada Sanusi
Marah dengan jenaka Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan kontena jenazah pesakit Covid-19, anggota Pemuda DAP Batu Kawan membuat empat laporan polis terhadapnya.
Malaysiakini difahamkan kesemua laporan dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai semalam.
"Sebagai wakil rakyat yang perlu bersikap tanggungjawab, dia tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu," kata Yoganathan Loganathan, salah seorang yang membuat laporan.
"Kata-katanya memberi tanggapan yang dia tidak peduli dengan nyawa rakyat, mahupun hormat terhadap mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam laporannya yang dilihat Malaysiakini, Yoganathan mendakwa Sanusi meremehkan keadaan serius di mana orang ramai berdepan kesusahan.
Katanya, tiada sesiapa yang patut menghina mangsa Covid-19 kerana ia satu perlakuan tidak sensitif yang melukakan perasaan keluarga dan rakan mereka yang terkorbab.
Pada 6 Ogos lalu, Sanusi ketika sidang media di Sungai Petani mengingatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan hospital kini bergelut untuk menampung jumlah pesakit.
Ditanya sama ada tempat menyimpan mayat pesakit Covid-19 mencukupi atau tidak, Sanusi menjawab: "Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk sila bagi nama."
Sanusi kemudian memohon maaf atas kenyataan itu.
Katanya, jenaka itu adalah gurauannya dengan wartawan yang hadir pada sidang media, yang dianggap sebahagian daripada keluarganya tetapi ditularkan secara di luar konteks.
Bagaimanapun, seorang pegawainya kemudian membuat laporan polis terhadap mereka yang mengecam Sanusi di medai sosial.
Polis setakat ini telah menahan beberapa individu, termasuk seorang lelaki berusia 61 tahun yang membuat rakaman video membidas Sanusi selama kira-kira sembilan minit.
Sementara itu, seorang lagi ahli Pemuda DAP yang membuat laporan berkata, tindakan Sanusi membuat kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak profesional.
"Saya dan rakan-rakan kecewa dan tersinggung dengan kenyataannya, jadi kami buat laporan polis selaku warga yang prihatin," katanya yang enggan dinamakan.
Ditanya sama ada mereka risau jika ada laporan balas dibuat terhadap mereka atau tidak, mereka berkata laporan polis itu bukan bertujuan memburukkan Sanusi tetapi agar pemimpin lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
"Saya hanya takut jika buat dakwaan palsu atau memfitnah menteri besar," kata salah seorang daripada mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai