Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Indera Kayangan positif Covid-19

Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan penduduk di kawasannya minggu lalu.

Wakil rakyat PKR itu berkata dia mendapati individu tersebut positif Covid-19 pada 8 Ogos dan pergi membuat ujian Covid-19 pada keesokan harinya.

“Saya sudah mula mengamalkan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga sejak saya mengambil ujian saringan PCR-19 pada hari Isnin.

“Dengan keputusan positif ini, saya akan mematuhi nasihat dan arahan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kangar untuk menjalankan kuarantin kendiri di rumah saya sehingga habis tempoh jangkitan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Gan lagi, Pusat Komuniti Adun Indera Kayangan juga akan ditutup buat sementara waktu.

Katanya walaupun semua program yang dijalankan mematuhi langkah-langkah ketat seperti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dia menyeru semua orang yang mempunyai kontak rapat dengannya sejak tujuh hari lalu agar menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat.

Tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, memberitahu di Twitter bahawa dia mempunyai kontak rapat dengan Gan pada Ahad lalu dan akan melakukan kuarantin kendiri.

“Oleh kerana ada berhubung dengan beliau semasa sesi bantuan bakul makanan fasa tiga pada Ahad lalu, maka saya akan membuat ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri. Harap maaf,” ciapnya hari ini.

Amin kemudian mengemas kini keputusan ujian dirinya dan kakitangannya negatif.

“Alhamdulillah setakat tadi 6.25 petang tadi ujian saya dan semua staf Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kangar dinilai negatif,” ciapnya.