Maria nafi dia, dua lagi MP setuju terima tawaran 'durian RM30'
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menafikan dia dan dua lagi ahli parlimen akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Dua lagi ahli parlimen yang dikaitkan adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.
"Saya menolak semua ini dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik kotor seperti ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Ingin saya nyatakan bahawa saya tetap bersama PKR dan PH. Saya berpegang tetap kepada komitmen dalam perjuangan ini, begitu juga rakan-rakan saya Sivarasa Rasiah dan Tony Pua," katanya lagi.
Terdahulu, beberapa wakil rakyat PH berkata menerima pesanan berhubung tawaran "durian RM30" jika mereka menukar sokongan kepada PN.
Mengulas lanjut, Maria berkata ada pihak cuba menyebarkan "berita palsu" berkenaan dirinya, dalam bentuk artikel yang didakwa disiarkan laman Agenda Daily, bahawa dia akan menukar sokongannya.
Katanya lagi, tumpuannya sebagai ahli parlimen pada masa ini adalah kebajikan penduduk di kawasannya.
"Ratusan orang mati akibat Covid-19 setiap hari, namun masih ada pihak yang menangguk di air yang keruh, mewujudkan suasana politik yang kotor dan terhina untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakpercayaan.
"Jangan membuat tuduhan tidak berasas," katanya lagi.
Maria dan Sivarasa sering menjadi sasaran spekulasi yang mereka akan menyertai PN. Ia berikutan perkaitan mereka dengan Azmin Ali ketika dia menjadi timbalan presiden PKR.
Sementara itu, Sivarasa ketika dihubungi turutk menafikan akan menyertai PN, serta turut menegaskan komitmennya dengan PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai