Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelantan belum sedia buka masjid buat masa ini

Walaupun kerajaan persekutuan mengumumkan kelonggaran untuk menunaikan solat berjemaah kepada individu yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing, pendekatan berbeza diambil kerajaan Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meminta pembukaan masjid ditangguhkan buat masa ini susulan peningkatan kes Covid-19.

"Tuanku memohon supaya bilangan kes mesti turun dan peratus pemberian vaksin keseluruhan meningkat kepada 50 peratus, barulah masjid dibuka.

"Untuk memastikan kes menurun, kita memerlukan kerjasama semua pihak terutama penduduk di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Untuk rekod semua hal ehwal Islam Kelantan adalah terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Setakat ini Maik menetapkan hanya empat jemaah dibenarkan menunaikan solat di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala di negeri ini sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dr Izani berkata, pihaknya menjangkakan keluk kes Covid-19 di Kelantan akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk dilandaikan.

"Kerajaan negeri memang sudah menjangkakan peningkatan kes selepas sambutan Aidiladha selama sebulan, namun tidak menyangka peningkatan terlalu tinggi sehingga mencecah empat angka.

"Justeru melihat kepada kes terkini, kerajaan negeri menjangkakan mengambil masa tiga bulan untuk melandaikan kes Covid-19,” katanya.