Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelantan tambah syarat kebenaran makan 'dine-in'

Kerajaan Kelantan mengenakan syarat tambahan untuk kebenaran makan di kedai (dine-in) selain syarat yang diumum oleh perdana menteri sebelum ini.

Susulan situasi kes Covid-19 di negeri itu yang masih membimbangkan, kerajaan negeri berpendapat kebenaran terbabit hanya dibolehkan bagi peniaga atau pekerja yang sudah menerima dua dos vaksin.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, berkata perkara itu diputuskan selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang masih membimbangkan sekarang.

"Kerajaan negeri buat keputusan untuk mengetatkan sedikit syarat, iaitu pengusaha restoran atau kedai makan dan pekerja mesti lengkapi dua dos vaksin sebagai syarat untuk membenarkan pelanggan makan di premis masing-masing.

"Jika mereka belum lengkapi vaksin, hanya secara take away (bungkus) saja," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi tujuan makan di kedai kepada individu yang sudah penerima dua suntikan vaksin bergantung kepada fasa Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuat kuasa di negeri masing-masing.

Izani berkata, kerajaan negeri juga memutuskan individu yang berusia 17 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan makan di premis kedai.

Jelasnya, kerajaan negeri juga melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil inisiatif awal dalam usaha memberi suntikan vaksin kepada peniaga.

"Dari awal lagi di seluruh PBT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan kita bantu peniaga-peniaga daftar vaksin.

"Alhamdulillah sudah ramai yang menerima dos pertama, insya-Allah sedikit masa lagi akan sampai tarikh suntikan kedua.

"Justeru, golongan peniaga terbabit diharap agar bersabar dengan penangguhan ini demi kepentingan bersama," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri Kijang.