Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Khalid Samad jalani kuarantin di rumah lepas kakitangan positif Covid-19

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sejak 4 Ogos lalu selepas salah seorang kakitangannya positif Covid-19.

Menurutnya, walaupun pada mulanya ujian kendiri Covid-19 (Rapid Antigen Test) yang dilakukannya di rumah menunjukkan keputusan negatif, dia meneruskan tempoh kuarantin disebabkan kontak rapat.

Bagaimanapun, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah berkata dia mengambil keputusan untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 itu selepas seorang lagi kakitangannya didapati positif hari ini.

“Bila kakitangan saya hari ni beritahu hari ni yang dia positif (Covid-19), saya pun buat self-test (ujian kendiri) hari ni juga. Self-test tu saya dapati positif.

“Tetapi oleh kerana self-test tu not very dependable (tidak begitu tepat), itu yang saya pergi untuk buat PCR (ujian saringan tindak balas berantai polimerase),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata, kakitangan yang didapati positif hari ini sering berjumpa dengannya untuk urusan pentadbiran seperti menghantar dokumen kepadanya.

Katanya, setakat ini dia tidak mengalami sebarang gejala dan sedang menunggu keputusan ujian RT-PCR yang dijangka petang esok. 

Sebagai rekod, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa alat ujian kendiri Covid-19 hanya dapat digunakan untuk tujuan pemeriksaan, sementara ujian RT-PCR adalah satu-satunya ujian yang diterima untuk tujuan diagnostik.

Walaupun begitu, ia mengatakan bahawa orang yang mendapat keputusan ujian kendiri yang positif harus pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), klinik kerajaan, atau kemudahan kesihatan swasta untuk penilaian lebih lanjut.

Mereka yang tinggal di wilayah Lembah Klang Besar dan tidak mempunyai gejala harus menggunakan kemudahan Virtual CAC.

Sebaliknya, orang diuji negatif tetap harus melaporkan hasil ujian mereka melalui aplikasi MySejahtera. Sekiranya mereka mempunyai gejala walaupun ada ujian negatif, mereka harus pergi ke pusat kesihatan untuk dinilai.