Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beratur rapat di luar PPV: Ismail Sabri mahu pihak berkuasa tangani keadaan

Terkejut melihat keadaan sesak di luar pusat pemberian vaksin (PPV) Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan harapan agar pihak berkuasa dapat mencegah situasi itu daripada berulang.

Ismail merujuk video tular hari ini yang memaparkan barisan panjang di luar bangunan PPV itu. Orang ramai dilihat beratur dalam keadaan rapat sehingga ada yang saling bersentuhan.

"Saya terkejut melihat video keadaan di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons hari ini yang penuh berpusu-pusu sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya harap pihak penguatkuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak seperti ini tidak berulang lagi kerana ia boleh menyebabkan penularan wabak.

"Saya akan menghubungi kementerian yang berkaitan serta polis supaya kejadian ini dapat ditangani segera," katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dalam ciapan di Twitter turut menyatakan rasa terkejutnya dengan apa yang berlaku.

Kata Annuar, maklumat awal yang diterimanya menyatakan ramai warga asing datang secara "tiba-tiba" untuk mendapatkan vaksinasi di situ.

Bagaimanapun, katanya lagi, keadaan kembali normal selepas tindakan segera pihak berkuasa.

"Khidmat vaksinasi di sini sudah berjalan dua hingga tiga minggu tanpa masalah begini. Polis dan petugas sedang siasat puncanya," katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya pula dalam satu kenyataan, berkata pihaknya telah mengarahkan pasukan pematuhan ke PPV berkenaan untuk mengawal keadaan.

"Hebahan telah dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sebagaimana SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan di PPV tersebut sehingga program vaksinasi selesai," katanya.

Keterangan yang mengiringi video tular itu menyatakan yang ia dirakam oleh satu pasangan suami isteri yang menaiki motosikal dalam perjalanan ke Kampung Baru, ketika mereka melihat keadaan berpusu-pusu di luar PPV.

Dengan masih memakai topi keledar, penunggang motosikal itu dilihat berdiri sedikit jauh daripada barisan dan meminta mereka agar menjaga jarak antara satu sama lain.

Malah dia juga dilihat berkata-kata dalam keadaan marah di depan kamera, dengan menggesa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali agar "melakukan sesuatu', selepas mengambil kira ramai yang beratur itu adalah di kalangan warga asing.

Beberapa anggota polis kemudian dilihat mendekati lelaki itu. Dia kemudian meminta polis agar menangani perkara itu.

Pasangan itu kemudian berkata mereka kembali ke PPV itu selepas 40 minit untuk melihat keadaan. Walaupun kelihatan ia kurang sesak seperti sebelumnya, masih ada orang ramai yang berlegar di luar bangunan tanpa menjaga penjarakan fizikal.

[Baca berita asal]