Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Guan Eng beri keterangan pada polis isu perarakan ke parlimen

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng memberikan keterangan kepada polis di George Town hari ini, berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, bagi memberikan keterangan.

“Siasatan kes ini dijalankan oleh pegawai penyiasat di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, dan pihak kami di sini (IPD) Timur Laut, membantu merekodkan keterangan beliau (Lim),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, polis IPD Timur Laut turut mengambil keterangan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, berhubung siasatan kes sama.

Pada 2 Ogos lalu, Ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung, walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

- Bernama