Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Tumpu tangani Covid-19, pembangkang tak ada calon PM alternatif'

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menggesa rakyat Malaysia untuk menumpukan perhatian pada respons Covid-19 negara, bukannya menuntut agar persidangan Dewan Rakyat diadakan,

Dalam satu kenyataan hari ini, Zuraida mengatakan bahawa pembangkang tidak dapat mencapai persetujuan tentang calon perdana alternatif, oleh itu, kerajaan harus diizinkan untuk menjalankan dan memenuhi mandatnya kepada rakyat, menangani pandemik Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi.

"Rakyat sudah muak dengan politiking berterusan dan tindakan pembangkang yang tidak habis-habis membuat bising berkenaan angka, majoriti dan sebagainya.

"Ada kala kelihatan seperti tiada perkara lain lagi yang penting bagi mereka. Saya ingin sekali lagi menegaskan, sehingga kini pihak pembangkang tidak pernahn mengumumkan calon yang jelas sebagai perdana menteri alternatif.

"Pembangkang sentiasa menyatakan perdana menteri kononnya telah hilang majoriti, tetapi tiada seorang pun di kalangan mereka yang boleh bersepakat untuk seorang calon tunggal.

"Ia menunjukkan perbalahan dalaman, pertikaian dan perpecahan

dalam pihak pembangkang sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menambah bahawa pengkritik akan lebih baik berkhidmat untuk negara dengan memberikan idea dan cadangan yang konstruktif dan bukannya berebut kuasa.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada gesaan agar Dewan Rakyat bersidang lebih awal berbanding pada 6 September seperti yang dijadualkan.

Zuraida mengatakan tidak perlu berbuat demikian kerana tarikh telah ditetapkan dan Parlimen masih dalam kuarantin kerana kes Covid-19 dikesan semasa sesi khas Dewan Rakyat sebelumnya.

"Semalam, kita menerima berita sedih tentang kematian seorang individu yang mendapat jangkitan daripada kluster Parlimen.

"Tiada keperluan untuk menggesa sidang lebih awal, terutamanya apabila tarikh yang ditetapkan dan diumumkan oleh kerajaan tidaklah terlalu lambat, iaitu kurang sebulan daripada sekarang," katanya.

Pembangkang menuntut agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menguji majoriti di Dewan Rakyat secepat mungkin berikutan kehilangan sokongan Umno.

Setakat laporan ini ditulis sebanyak 15 ahli parlimen Umno dikatakan telah memutuskan kerjasama dengan kerajaan PN dan Muhyiddin.

Dengan itu sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat kini berkurang kepada 100 ahli sahaja, iaitu kurang 11 untuk mendapat majoriti mudah di parlimen.

Berdasarkan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri harus mengundurkan diri jika dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti, kecuali Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk membubarkan Parlimen.