Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mediasi Saifuddin-Zuraida gagal, saman fitnah akan jalani perbicaraan penuh

Mediasi hari ini gagal menyelesaikan saman fitnah yang difailkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Justeru, tindakan undang-undang itu akan menjalani perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula 19 Januari tahun depan.

Pagi tadi, Malaysiakini melaporkan Saifuddin dan Zuraida, yang merupakan bekas naib presiden PKR, akan cuba menyelesaikan saman itu secara mediasi dalam talian hari ini.

Saman itu difailkan Saifuddin tahun lalu berhubung dakwaan berkaitan kerajaan Kelantan dan Tabung Amanah Tok Kenali.

Dia pernah mendakwa Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, ketika itu sebagai mursyidul am PAS dan menteri besar, pernah melantiknya untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan negeri antara 2004 hingga 2007.

Ketika dihubungi, peguam Saifuddin, Chiew Choon Man mengesahkan yang mediasi hari ini gagal dan saman itu akan dibicarakan pada tahun depan.

"Mediasi dibuat menerusi Zoom di depan Pengarah Bahagian Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur, Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

"Ia berakhir tanpa penyelesaian muktamad setakat ini.

"Pengurusan kes di depan hakim Rozana Ali Yusoff dijadual esok, untuk memberi kemas kini kepada mahkamah berkenaan keputusan mediasi, dan bersedia untuk perbicaraan pada 19, 20 dan 21 Januari 2022," katanya.

Ditanya jika anak guamnya akan cuba melakukan mediasi sekali lagi, Chiew berkata dia belum menerima sebarang arahan berkaitannya.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pasukan peguam Zuraida berhubung perkara ini.

Awal tahun lalu, PKR menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida berhubung kenyataan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu acara makan malam pada Disember, 2019.

Zuraida ketika itu antara pemimpin parti yang menyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali. Kenyataan itu dibuat pad 8 Disember 2019, ketika kemuncak pertembungan dalaman PKR di tengah-tengah kongres tahunan parti itu.

PKR juga memfailkan satu lagi saman berjumlah RM10 juta terhadap PKR ekoran tindakannya keluar parti tahun lalu.